2,000 maut ditelan pasir jerlus

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in | Posted on 07 November 2008





Oleh Nasron Sira Rahim















Tragedi pada 7 Jun 1962 lenyapkan satu pertiga daripada pekan Port Royal di Jamaica


SEKITAR jam 11.40 pagi pada 7 Jun 1692, bandar pelabuhan Port Royal di Jamaica tiba-tiba dilanda gegaran teramat kuat. Selepas gegaran itu berhenti, bandar berkenaan mula tenggelam ke dalam tanah sehingga menyebabkan satu pertiga kawasan kotanya lenyap dan 2,000 penduduknya hilang ditelan pasir jerlus. Tragedi menggemparkan itu diceritakan saksi, Sir Hans Sloane: “Gegaran teramat kuat itu menenggelamkan sembilan hingga 10 kawasan pekan Port


Royal dalam masa dua minit manakala bangunan di tepi dermaga pula tenggelam dalam masa kurang seminit.”
Lebih menakutkan adalah dalam tempoh singkat juga, pasir jerlus dahsyat itu menelan ribuan penduduk bandar berkenaan dan kejadian menyeramkan itu digambarkan seorang saksi lain: “Gegaran dahsyatnya menyebabkan pasir merekah dan penduduk mula ‘ditelan’ ke dalamnya.” Bencana di Port Royal pada 1692 itu terus dikenang sebagai tragedi pasir jerlus paling dahsyat dalam sejarah dunia kerana sebelum ini, pasir jerlus sering dimomokan sekadar menelan manusia dan berlaku pada kawasan terhad saja. Akan tetapi, tragedi pada 1692 itu membuktikan bahawa kedahsyatan pasir jerlus menyebabkan ia mampu menelan sebuah kota besar dan ribuan mangsa sekali gus! Cerita mengenai pasir jerlus sering menjadi antara momokan popular sehingga kini. Di tangan pengiat kreatif atau sutradara filem, pasir jerlus digambarkan seakan-akan ‘raksasa atau makhluk hidup’ yang menunggu penuh sabar untuk menjerat dan memerangkap mangsanya. Mangsa yang melalui di atasnya kemudian akan ditelan ke dasar tidak berpenghujung dengan kejam dan sadis.







Ikan Paus mati tercekik sampah

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in

oleh : Mohd Rafi Mamat
bhnews@bharian.com.my



Ikan paus malang kembali terdampar setelah cuba diselamatkan kakitangan Jabatan Perikanan, nelayan dan pihak bomba.



PENEMUAN seekor anak ikan paus betina spesies Bryde's Whale yang terdampar di beting pasir Kuala Nenasi, Pekan, baru-baru ini menggemparkan semua pihak kerana mamalia berkenaan dianggap asing di negara ini. Mamalia berwarna hitam dengan ukuran kira-kira 10 meter panjang dan berat lebih tiga tan metrik itu, dipercayai tersesat sebelum ditemui seorang nelayan. Ikan paus berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian muncung dan badan dipercayai tersesat daripada kumpulan antara dua hingga tiga ekor.


Nelayan, Saman Muhamad, 42, yang menemui ikan paus berkenaan berkata, dia terkejut melihat satu objek besar terdampar pada beting pasir kira-kira 7.30 pagi ketika hendak turun ke laut. "Saya sangkakan kayu balak berwarna hitam yang hanyut, tetapi sebaik mendekatinya, saya dapati ikan paus itu masih bernyawa. "Ketika ditemui, paras air sungai hanya setakat sirip ikan berkenaan tetapi disebabkan saiznya yang besar, ikan itu tidak mampu bergerak ke laut," katanya.


Katanya, ketika ditemui ikan paus itu masih kuat apabila sentiasa cuba berenang dan bergerak menggunakan ekornya, tetapi disebabkan air cetek di kawasan berkenaan, mamalia itu tidak mampu bergerak. Saman berkata, dia bersama lebih 15 nelayan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pekan dan kakitangan Jabatan Perikanan Daerah berjaya menolak ikan paus berkenaan ke laut pada kira-kira jam 11 malam. Bagaimanapun, mamalia berkenaan sekali lagi ditemui terdampar di atas pasir di Kuala Nenasi dan mati ketika operasi menyelamat dilakukan. Pegawai Penyelidik Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) di Rantau Abang, Terengganu, Mohd Lazim Mohd Saif pula berkata, siasatan awal punca kematian mendapati saluran usus ikan paus berkenaan tersumbat.


Katanya, plastik sampah, segumpal tali nylon dan penutup botol ditemui dalam usus mamalia berkenaan yang dipercayai menyumbat saluran ususnya. "Ikan paus itu mengalami masalah kesihatan agak serius menyebabkan ia lemah dan tidak dapat berenang ke laut walaupun selepas operasi menyelamat dilakukan. "Ia kembali semula ke Kuala Nenasi selepas dibawa arus deras air pasang sebelum ditemui terdampar di pantai," katanya. Beliau berkata, ikan paus itu tidak dapat membezakan antara hidupan laut dengan plastik sehingga menyebabkannya memakan bahan buangan itu. Selain ikan paus, kes hidupan laut makan plastik yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab turut dilaporkan berlaku kepada haiwan laut lain seperti penyu dan dugong. Mohd Lazim berkata, kecederaan pada bahagian muncung ikan paus berkenaan dipercayai terlanggar batu karang terutama selepas terpisah daripada kumpulannya akibat tersesat. Katanya, dia bersama empat pegawai Makmal Veterinar Kuantan melakukan pembedahan selain mengambil contoh beberapa bahagian ikan paus berkenaan untuk tujuan analisis. Mamalia berkenaan ditanam di kawasan pantai Kuala Nenasi dengan diawasi polis Nenasi dan penduduk setempat bagi mengelak berlakunya kecurian. Katanya, selepas dua bulan ditanam, Tumec akan mengambil rangka ikan paus berkenaan untuk kajian selain untuk pameran.

Angkara Manusia

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in

oleh : Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

Usaha menyelamat Ikan paus yang ditemui terdampar di beting pasir di Kampung Kuala Nenasi, Pekan dilakukan oleh penduduk gagal, apabila ikan tersebut mati akibat terdapatnya plastik, tali dan pelbagai bahan buangan di dalam perut ikan paus tersebut setelah dibedah siasat.
Habitat laut kian terancam Persepsi tidak tepat terhadap laut menyebabkan ia menjadi tempat semua longgokan sampah dan sisa lain termasuk pembuangan minyak MASALAH pembuangan sampah ke dalam laut sama ada akibat aktiviti yang dijalankan di kawasan marin atau di darat jika tidak ditangani segera boleh menjadi semakin serius dan berkemungkinan membawa kerosakan kepada sistem ekosistem batu karang dan laut di negara ini.

Jabatan Taman Laut, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menjangkakan lebih banyak spesies akan mati jika isu pencemaran dan pembuangan sisa pepejal dalam laut tidak diatasi dengan segera. Ketika ini, Malaysia mempunyai 42 peratus daripada 2,300 terumbu karang yang sihat dan 56 peratus lagi dalam kategori sederhana sihat. Namun, kini, 20 peratus daripada 42 peratus terumbu karang yang sihat itu dicemari oleh pelbagai pencemaran seperti minyak dan sisa pepejal (pukat hanyut dan puntung rokok) yang dibuang di darat dan laut.


Aktivis alam sekitar melihat terumbu karang yang musnah akibat tumpahan minyak.

Jabatan itu menegaskan apabila terumbu karang mati maka ekosistem di sekelilingnya juga terancam dan berkemungkinan akan menghasilkan hasil laut yang tidak bermutu atau wujud kepupusan bagi sesetengah spesies.
Pensyarah Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zelina Zaiton Ibrahim, berkata kesedaran awam mengenai pembuangan sisa pepejal di laut masih rendah walaupun kebanyakan faham kepentingan menjaga alam sekitar. Ini berlaku kerana ramai yang tidak nampak kepentingan laut kepada manusia, lebih-lebih lagi laut itu dilihat luas dan jauh daripada pandangan mereka. “Kebanyakan masyarakat menganggap laut luas dan jauh daripada kehidupan harian, maka laut itu boleh menjadi tempat pembuangan sampah yang paling sesuai. Tanggapan ini perlu diubah, jika tidak, dikhuatiri pada masa depan kawasan tadahan air akan tercemar,” katanya.


Persepsi tidak tepat terhadap laut juga menyebabkan ia menjadi tempat semua longgokan sampah dan sisa lain termasuk pembuangan minyak. Dalam kes hidupan laut mati akibat pencemaran air memang banyak dilaporkan, namun dalam kes paus tersesat dan terdampar di perairan negara ini di Kampung Kuala Nenasi, Pekan baru-baru ini, jarang berlaku.
Dilaporkan ikan itu mati kerana tercekik plastik dan tali nilon tetapi ada kemungkinan ikan berkenaan sebenarnya memang sakit akibat kualiti air yang rendah berbeza dengan habitat sebenarnya. Dr Zelina Zaiton juga menyatakan saintis percaya apabila paus sesat atau dijumpai terdampar di perairan yang bukan habitatnya menunjukkan kualiti air rendah dan pergerakan arus sudah berubah. “Ikan paus biasanya tinggal di kawasan laut dalam dan dalam kes ini, kemungkinan ia sesat apabila arus air berubah akibat perubahan iklim dunia,” katanya. Pensyarah Pengurusan Strategik Zon Pantai dan Maritim, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar UPM, Laksamana Pertama (B) Prof Madya Dr Sutarji Kasmin, berkata sisa buangan enap cemar juga berisiko tinggi menyebabkan pencemaran kepada hidupan laut.
Kebiasaannya, sisa buangan enap cemar seperti minyak hitam dibuang oleh kapal dagang. Kawasan yang sering menerima akibat ini adalah laluan kapal dagang dan pelabuhan. Di negara ini, laluan yang sering menjadi tempat pembuangan enap cemar adalah Selat Melaka kerana ia adalah laluan paling sibuk di dunia. Mengikut maklumat Pusat Penyelaras Penguat Kuasa Maritim Kebangsaan, Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebanyak 144 kes pencemaran minyak laut dikenal pasti. Daripada jumlah itu, 108 kes membabitkan pembuangan enap cemar dan 32 kapal didakwa di mahkamah tetapi hanya 14 saja didapati bersalah. Difahamkan 15 pelabuhan yang ada di Malaysia menyediakan perkhidmatan kepada kapal dagangan membuang sisa minyak seperti minyak hitam, namun kos pembersihan yang dikenakan terlalu mahal yang memaksa kapal mengambil tindakan membuang sisa berkenaan di dalam laut secara haram.
Mengikut laporan Badan Penyelaras Laut Asia Timur (Cobsea), mendapati ada dua penyebab utama pembuangan sampah di laut di negara ini iaitu sisa buangan daripada kapal dan aktiviti di darat. Pembuangan sampah daripada kapal ini berlaku akibat aktiviti yang dilakukan di laut. Selain kapal dagang dan bot menangkap ikan, pelabuhan dan loji minyak turut menyumbang kepada pencemaran dan pembuangan sisa pepejal dan cecair ke laut. Sisa buangan daripada jeti minyak dan gas serta bahan buangan daripada kapal nelayan, bot rekreasi dan kegiatan memancing turut menyumbang kepada pembuangan sampah ke laut. Setakat ini, Malaysia mempunyai 15 pelabuhan yang menyediakan kemudahan pembuangan sampah sarap daripada kapal yang mana sampah itu diuruskan oleh kontraktor yang dilantik mengendalikannya.
Aktiviti di daratan turut menyebabkan pencemaran laut terutama kawasan persisiran pantai atau pulau seperti Pulau Pinang dan Langkawi. Sampah sarap daripada daratan dibawa ke laut melalui sungai dan terusan yang turut memberi kesan kemusnahan kepada pantai. Kegiatan pelancongan dan rekreasi di sepanjang pantai peranginan menjadi antara penyumbang pembuangan sampah. Begitu juga pengurusan sampah di daratan yang tidak teratur turut menyebabkan ia mencemari laut. Pembuangan sampah biasanya datang daripada kawasan perumahan, rekreasi, kemudahan awam, pusat komersial, kawasan industri, tempat pembuangan sampah dan aktiviti pertanian. Maka, perlu ada amalan yang baik untuk pengurusan sampah dan cara pengendaliannya (pengumpulan, penghantaran, pengangkutan dan pengalihan, penghapusan dan penembusan sampah).
Pada masa ini, mengikut laporan itu, pengurusan sampah di Malaysia dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT). Kini Malaysia menyediakan Pelan Strategi Kebangsaan Pengurusan Sisa Pepejal yang mensasarkan mengurangkan sumber dan mencegah pembuangan sisa pepejal; mempelbagaikan lagi sistem pengurusan sampah menerusi kaedah kitar semula dan penggunaan semula, penukaran teknologi dan pengenalan kemudahan pembuangan sampah seperti insinerator dan sampah sebagai sumber tenaga baru. Di Malaysia, kerja pembersihan sampah di pantai dilakukan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO), PBT, pertubuhan berkaitan marin dan pusat peranginan pantai termasuk hotel.
Cobsea mencadangkan Malaysia meningkatkan lagi aktiviti pembersihan pantai dan meningkatkan lagi kesedaran awam kepentingan menjaga alam sekitar selain mengurus dengan baik pembuangan sisa ke laut. Ketiadaan data lengkap mengenai tahap kebersihan dan pencemaran menyukarkan usaha mengatasi masalah pembuangan sampah di Malaysia. Namun, secara keseluruhannya warga Malaysia sudah ada kesedaran mengenai masalah pembuangan sampah melalui siri kempen pembersihan pantai dan program kesedaran yang dilakukan berterusan.