Bagaimana kegiatan seharian pelajar USM boleh memberi impak kepada alam sekitar??

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in | Posted on 25 October 2009

INTERAKSI RUANGAN YANG BERLAKU DI DESASISWA

Desasiswa merupakan nama bagi tempat perkampungan pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM). Pelajar-pelajar USM mendapat fasiliti yang sempurna yang disediakan oleh pihak universiti. Dalam sesebuah desasiswa terdapat bilik tidur, tandas, bilik tv dan sebagainya untuk kemudahan pelajar. Sebagai warga kampus, saya banyak menghabiskan masa lapang saya di desasiswa.

Desasiswa merupakan tempat rehat, mengulangkaji dan sebagainya. Pada waktu lapang, saya akan membasuh pakaian. Penggunaan air dan sabun akan dialirkan terus ke dalam longkang. Hal ini boleh mengakibatkan kualiti air terjejas. Terdapat anggaran 50 ribu warga USM yang menetap di desasiswa atau rumah dalam kampus ini. Hal ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan domestik. Salah satu contoh aktiviti yang memberi impak besar kepada alam sekitar adalah dengan penggunaan sabun dan detergen. Bahan buangan tersebut akan dialirkan ke dalam longkang seterusnya ke dalam sungai. Antara kesan pengaliran buangan sabun adalah menjejaskan hidupan akuatik kerana kandungan kimia yang tinggi terdapat dalam sabun dan pencuci boleh menyebabkan hidupan tersebut keracunan di samping mempercepatkan pertumbuhan alga.

Detergen atau serbuk pencuci digunakan untuk membasuh atau mencuci selain tubuh badan. Bahan utama detergen ialah garam natrium bagi asid organik yang dinamakan asid sulfonik. Asid sulfonik yang digunakan dalam pembuatan detergen merupakan molekul berantai panjang yang mengandungi 12 hingga 18 atom karbon per molekul.

Bahan pencuci mengandungi egen aktif permukaan (surfaktan) yang membolehkan air bersentuh dengan bahan yang dicuci dan bahan tambahan seperti pelembut yang berupaya mengurangkan zat-zat logam yang mengganggu proses pencucian.

Surfaktan negatif dan tidak berion merupakan komponen utama terdapat dalam kebanyakan sabun pencuci buku, cecair pencuci pinggan mangkuk dan sesetengah pencuci pakaian. Sesetengah bahan pula mengandungi garam beralkali seperti natrium karbonat atau fosfat dan silika iaitu bahan kimia yang meningkatkan keupayaan mencuci. Fosfat telah dikenal pasti boleh menyebabkan pencemaran air dan pertumbuhan alga.

Pengaliran air ke dalam longkang yang tidak tertutup menimbulkan pencemaran bau kepada pejalan kaki. Air yang dikeluarkan oleh oleh sisa penggunaan domestik akan dialirkan ke dalam longkang. Pada waktu pagi, apabila berjalan kaki melalui depan Fajar Harapan, saya akan berbau busuk kerana waktu pagi saya bau bahan-bahan buangan seperti sabun detergen dan bermacam-macam bau. Pada waktu itu berkemungkinan pada waktu pagi, pelajar-pelajar sedang membasuh baju. Begitu juga pada waktu malam, bau yang lebih busuk dapat dihidu oleh sesiapa saja yang melalui tempat itu.

Rutin pelajar di desasiswa antaranya adalah “chatting”, buat kerja kursus dan membasuh baju. Melalui pemerhatian yang dilakukan, pada waktu pagi, lampu-lampu blok desa masih terpasang sungguhpun hari sudah terang. Tiap-tiap hari perkara yang sama berlaku. Tiada kesedaran untuk menutup lampu-lampu tersebut ketika melalui aras berkenaan. Mereka hanya menunggu tukang cuci untuk menutup. Penggunaan kadar elekrik di USM adalah sangat tinggi mencecah ratusan ribu sebulan.

INTERAKSI PENGGUNAAN KENDERAAN BERMOTOR DI DALAM KAMPUS

Sebagai warga kampus saya menggunakan perkhidmatan untuk memudahkan ketersampaian ke sesuatu tempat. Di universiti perkhidmatan bas U-Komuter disediakan untuk kemudahan pelajar yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Di dalam kampus terdapat pelbagai jenis kenderaan yang bergerak keluar masuk. Melalui pemantauan yang telah dilakukan dalam kampus, statistik menunjukkan penggunaan petrol tertinggi adalah motosikal dan kereta. Penggunaan motosikal majoritinya adalah pelajar.

Manakala penggunaan kereta kebanyakannya digunakan oleh pekerja di USM seperti pegawai tadbir, pensyarah, dan sebagainya. Perkhidmatan bas juga adalah penting kepada pelajar.

Jenis bas

Bilangan bas (unit)

Biru

3

Ungu

6

Hijau

7

Kuning

2

Merah

2

Jumlah

20

Melalui temu-bual seorang kerani di pejabat bas USM, sedikit maklumat telah diperoleh. Penggunaan tertinggi adalah motosikal. Pelajar lebih selesa membawa motosikal disebabkan faktor jarak yang berhampiran dengan kampung halaman serta penggunaan motosikal adalah lebih fleksibal berbanding kenderaan lain.

Hasil maklumat temu-bual telah diperolehi iaitu jumlah keseluruhan bas U- Komuter di USM adalah sebanyak 20 unit iaitu 2 buah bas kuning, 2 buah bas merah, 6 buah bas ungu, 7 buah bas hijau termasuk laluan Hamna dan Pekaka serta 3 buah bas biru yang disediakan untuk desasiswa RST (Restu, Saujana,Tekun).Menurut beliau, minyak bas akan diisi penuh setiap hari satu kali bagi setiap buah. Bas-bas tersebut akan bergerak sehingga tiba waktu rehat tanpa mengira berapa kali pusingan.

Jelas menunjukkan bahawa kadar pencemaran udara boleh memberi pelbagai impak kepada alam sekitar. Penggunaan banyak kenderaan bermotor menyebabkan banyak pelepasan gas-gas berbahaya seperti karbon dioksida (CO2), sulfur dioksida (SO2), karbon monoksida (CO) dan sebagainya yang boleh menjejaskan kesihatan kepada warga kampus.

Kebiasaan gas-gas sulfur dioksida (SO2), karbon monoksida (CO), hidrokarbon (HC), dan oksida-oksida nitrogen (NOx), ini dianggap sebagai pencemaran “simbol status”, kerana beranggapan hanya negara-negara yang mempunyai teknologi tinggi dan canggih serta jumlah kereta yang banyak sahaja mengalaminya. (Abu Bakar. 1998. ms 40).

Setiap hari penggunaan kenderaan bermotor akan menghasilkan gas-gas yang mencemarkan alam sekitar. Keperluan terhadap bahan api juga semakin meningkat dengan meningkatnya penggunaan kenderaan bermotor. Sebagai pelajar yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, bas merupakan pengangkutan kepada pelajar-pelajar. Apabila tertinggal bas, saya terpaksa berjalan kaki untuk ke desasiswa. Sepanjang perjalanan, saya telah menghidu banyak asap kenderaan terutamanya asap hitam oleh bas dan kenderaan berat lain seperti lori sampah selain motosikal dan kereta yang lalu-lalang di jalan raya. Perkara tersebut dialami oleh semua warga kampus yang berjalan kaki untuk ke dewan kuliah.

Kesan daripada pencemaran yang berlaku, boleh menjejaskan kesihatan, mengakibatkan jerebu yang seterusnya mengurangkan jarak penglihatan.

Gas ozon (O3), iaitu sejenis gas pengoksida yang boleh menimbulkan kerengsaan. Kepekatan ozon dalam beberapa bahagian per juta (ppm) sahaja boleh menyebabkan kesesakan pulmonari, edema dan pendarahan. (Abu Bakar. 1998. ms 41).

IMPLIKASI DEWAN KULIAH KEPADA ALAM SEKITAR KAMPUS

Dewan kuliah merupakan tempat kedua selepas desasiswa. Banyak masa dihabiskan di dewan kuliah. Setiap hari isnin hingga jumaat saya mempunyai kuliah dan tutorial sebagaimana rutin pelajar- pelajar lain. Dewan kuliah mempunyai banyak fasiliti seperti penghawa dingin, projektor dan sebagainya yang memudahkan serta menyelesakan sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran. Semua pensyarah dan pelajar menggunakan sepenuhnya fasiliti yang disediakan. Terdapat banyak dewan kuliah di USM. Terdapat 26 Dewan kuliah di USM yang di mana setiap dewan kuliah diwakili oleh huruf abjad A hingga Z.

Bermula pada jam 8 pagi hingga jam 5 petang, kuliah dan tutorial saya berjalan seperti biasa. Di USM, segala fasiliti adalah lengkap. Bukan hanya dewan kuliah yang berfungsi, namun bilik tutorial, bilik pensyarah, pejabat dan sebagainya juga menyediakan segala keperluan untuk keselesaan.

Namun, di samping keselesaan yang diperolehi, terdapat kesan-kesan tertentu terutamanya kepada alam sekitar sungguhpun keselesaan itu diperolehi. Penggunaan banyak penghawa dingin contohnya telah menyebabkan peningkatan suhu setempat. Di Pejabat, dewan kuliah, bilik tutor dan sebagainya semua memasang penghawa dingin. Satu buah bangunan mempunyai lebih dari pada 20 buah penghawa dingin. Penggunaan banyak penghawa dingin boleh meningkatkan suhu setempat di samping menipiskan lapisan ozon, menyebabkan kesan rumah hijau dan sebagainya.

Kesan rumah hijau berpunca sama ada secara semulajadi atau buatan manusia. Secara semulajadi, kesan rumah hijau berpunca daripada letusan gunung berapi yang membebaskan gas-gas sulfur, dan karbon. Selain itu pembakaran hutan akibat petir juga memberi kesan juga. Secara buatan manusia, kesan rumah hijau kebanyakan berpunca daripada pembebasan bahan pencemaran udara, seperti asap daripada kenderaan dan kilang. Penggunaan penyembur aerosol, sesetengah peti sejuk dan penghawa dingin yang membebaskan CFC juga menyumbang kepada kesan pemanasan global ini.

INTERAKSI AKTIVITI DI CAFE DENGAN PERSEKITARAN

Cafe atau kantin-kantin adalah salah satu tempat kegemaran keperluan bagi semua warga universiti. Cafe merupakan satu keperluan utama bagi warga universiti di mana cafe menyediakan pelbagai keperluan makanan dan minuman. Setiap desasiswa mempunyai cafe. Di depan foyer dewan kuliah terdapat satu cafe siswa yang menjadi ‘port’ lepak dan makan bagi pelajar dan pensyarah. Pada waktu pagi, saya dan rakan-rakan akan bersarapan di cafe siswa sebelum menunggu kuliah bermula.

Di cafe, saya melihat pembuangan sisa jenis cecair dialirkan terus ke dalam longkang. Contoh sisa jenis cecair ialah minyak masak yang telah digunakan, sisa minuman, sisa basuhan daripada dapur dan sebagainya. Apabila pulang ke desasiswa pada waktu petang, saya akan singgah ke cafe Indah Kembara untuk membeli makanan untuk makan malam kerana cafe Indah menawarkan harga makanan yang berpatutan dan lebih murah. Oleh itu rata-rata warga kampus kerap datang membeli makanan dan minuman di cafe Indah. Bukan saja para pelajar namun pekerja-pekerja juga datang untuk membeli makanan dan minuman.

Saya telah meninjau beberapa cafe dalam kampus ini seperti cafe Indah Kembara dan Cafe Siswa. Kebanyakan sisa jenis cecair seperti buangan minyak masak dialirkan terus ke longkang. Kesannya boleh menyebabkan longkang tersumbat kerana minyak yang tebal dan beku boleh menyebabkan aluran longkang-longkang kecil tersekat sebelum sampai ke longkang yang besar. Di samping itu, bahan-bahan basuhan daripada dapur juga dialirkan ke dalam longkang.

Daripada longkang akhirnya akan mengalir juga ke dalam sungai kerana sifat cecair adalah mengalir dan akan bercantum apabila ada pertemuan dua jisim cecair di sesuatu kawasan. Sungai merupakan elemen alam sekitar yang sangat penting buat manusia serta hidupan flora dan fauna. Sungai membekalkan sumber protein seperti ikan, kerang, udang dan sebagainya yang secara langsung menjadi sumber makanan kepada manusia. Sisa-sisa domestik boleh menyebabkan sungai tercemar. Di Malaysia, sungai yang mendapat anugerah sungai terkotor adalah sungai pinang di Pulau Pinang. Oleh itu, pengurusan sungai tidak boleh dipandang remeh sungguhpun apa yang dialirkan ke dalam sungai atau longkang kelihatan tidak merbahaya.

Kawasan perniagaan biasanya membelakangi sungai dan kadang-kala sungai dijadikan tapak pembuangan sisa. (Sulong et. al. 2005. ms 65).

Bukan itu saja, apabila longkang tersumbat ia boleh menyebabkan banjir kilat kerana sistem saliran tidak lagi berfungsi dengan baik akibat tersumbat. Tambahan pula kawasan bandar mudah dinaiki air apabila hujan lebat turun kerana kurang litupan tumbuhan dan bilangan konkrit yang terlalu banyak.

LANGKAH BAGI MEMULIHARA DAN MEMELIHARA ALAM SEKITAR KAMPUS YANG DILAKUKAN OLEH WARGA KAMPUS.

Terdapat banyak yang boleh dilakukan bagi membendung masalah yang timbul akibat aktiviti seharian warga kampus. Warga kampus juga menyedari bahawa aktiviti seharian sedikit sebanyak memberi impak kepada alam sekitar kerana warga kampus juga merasai impak yang berlaku. Justeru itu, banyak pendekatan yang telah diambil oleh warga kampus bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

Melalui kempen pembangunan mapan

Persatuan yang bergiat aktif dalam menjaga alam sekitar antaranya adalah Kelab Alam sekitar. Dengan kerjasama Healthy Campus, mereka membuat pelbagai kempen untuk menjaga alam sekitar dan pembangunan mapan. Pada peringkat awal, langkah yang diambil adalah dengan mengharamkan penggunaannya polisterin di kampus dan menggantikannya dengan “eco pack” iaitu boleh di biodegadrasi. Selepas program “eco pack” berjaya dilaksanakan, bekas plastik atau “Tuppaware” pula digunakan melalui kempen Tapau-mania. Kesinambungan dalam menjalankan program ini adalah bertujuan menggalakkan pelajar membawa bekas makanan sendiri. Motifnya adalah untuk mengurangkan penggunaan dan pembuangan sampah. Oleh itu, masalah peningkatan hasil smpah boleh dikurangkan.

Tidak semua sampah perlu dibuang kerana ada kemungkinan ianya boleh digunakan semula sebagai bahan-bahan baja serta penghasilan gas dan tenaga. (Sahabat Alam Malaysia.1984. ms 30)

Mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian

Bilangan kenderaan persendirian di univesiti adalah tinggi dan ia boleh memberi impak kepada alam sekitar. Hal ini boleh meningkatkan kadar pencemaran bunyi dan udara.

Kebanyakan kenderaan menggunakan minyak petrol dan jenis petrol yang digunakan di Malaysia merupakan salah satu jenis yang mengandungi bahan plumbum tertinggi di dunia iaitu 0.84 gram bagi setiap liter petrol. (Sahabat Alam Malaysia.1984. ms 36).

Justeru itu pelajar boleh mengambil alternatif dengan menyewa basikal USM untuk ke mana-mana. Dengan menggunakan basikal ia dapat menyihatkan tubuh badan di samping menjaga alam sekitar.

Di Jepun, rakyatnya lebih gemar menggunakan basikal berbanding kenderaan berpetrol kerana penggunaan basikal boleh mengatasi masalah jerebu.

Penggunaan kenderaan yang meluas telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan sistem pengangkutan awam (Sahabat Alam Malaysia.1984. ms 36).

KESIMPULAN

Setiap kegiatan manusia yang berlaku di dalam sesebuah ruang akan mempengaruhi alam sekitar. Pembangunan sedikit sebanyak telah menjejaskan alam sekitar. Untuk melakukan pembangunan perlulah disertakan dengan penilaian impak alam sekitar (EIA). Pembangunan mapan juga dapat mengelakkan daripada pembangunan yang rakus. Keselesaan yang dinikmati oleh warga kampus perlu mengambil kira impak yang berlaku terhadap alam sekitar. Alam sekitar adalah penting kerana semua benda hidup di muka bumi ini adalah saling berinteraksi antara satu sama lain. Banyak perkara yang boleh dilakukan oleh warga kampus untuk menjaga alam sekitar. Contohnya dengan menyertai program oleh persatuan-persatuan alam sekitar USM seperti Kelab Alam Sekitar, Kelab Aktivis Alam Sekitar Kampus dan sebagainya boleh memberi kita sedikit sebanyak input tentang penjagaan alam sekitar. Alam sekitar perlu dijaga. Apabila ia tidak dijaga, semua kesan akan berbalik kepada manusia jua.

Pada amnya, seorang individu dalam sehari mengenerasikan sebanyak 2 atau 3 paun sampah-sarap. (Sahabat Alam Malaysia.1984. ms 30).

Sebagai warga kampus, kesedaran terhadap alam perlu dititikberatkan kerana setiap warga kampus itu mempunyai peranan sebagai pengguna dan pada masa yang sama berperanan menjaganya agar impak yang terhasil daripada tangan-tangan manusia ini tidak akan berbalik kepada manusia juga dan pelbagai pendekatan perlu di buat supaya alam sekitar kampus sentiasa terjaga.