Iran beri amaran teruskan program nuklear pada PBB

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in | Posted on 11 October 2009

TEHERAN 11 Okt. - Iran semalam memberi amaran ia akan menjalankan aktiviti pengayaan uranium ke peringkat tertinggi yang diperlukan bagi menjana reaktor tenaganya jika rundingan dengan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara kuasa dunia gagal membantu Iran memperoleh bahan bakar dari luar negara.

Langkah itu boleh menambah ketegangan terhadap program nuklear Iran yang telah sedia meruncing berikutan pendedahan bulan lalu oleh Presiden Mahmoud Ahmadinejad bahawa Iran sedang membina fasiliti pengayaan uranium keduanya.

Amerika Syarikat (AS) dan rakan sekutunya dalam rundingan tersebut mahu Teheran menghantar sedikit sampel uraniumnya ke Rusia bagi proses lanjutan bahan itu untuk digunakan dalam satu reaktor penyelidikan perubatan di ibu negara Iran.

Proses pengayaan adalah satu kebimbangan utama kerana teknologi itu boleh digunakan untuk membuat bahan bakar bagi loji kuasa nuklear dan reaktor penyelidikan pada peringkat rendah atau senjata atom pada peringkat tinggi.

Dengan menjalankan aktiviti pengayaan bertahap tinggi di luar negara, ia dilihat sebagai satu langkah penting dalam membina keyakinan dan boleh meredakan kebimbangan Barat bahawa Iran cuba menggunakan kerja nuklear awamnya bagi menutupi pembangunan senjata.

Ia juga dilihat sebagai tindakan kompromi kerana Iran sebelum ini berulang kali enggan melibatkan negara luar, dengan menegaskan ia mempunyai hak untuk menjalankan program pengayaan domestik sepenuhnya yang didakwanya hanya untuk tujuan keamanan seperti penghasilan tenaga.

Ali Shirzadian, jurucakap untuk Organisasi Tenaga Atom Iran memberitahu AP semalam bahawa negaranya akan meneruskan kerja-kerja pengayaan uranium ke peringkat lebih tinggi kepada kira-kira 20 peratus yang diperlukan reaktor Iran jika tiada persetujuan dicapai dalam rundingan pada 19 Oktober depan di Vienna.

Kadar itu masih jauh berbanding 90 peratus peringkat pengayaan uranium yang diperlukan untuk senjata nuklear, namun ia boleh menimbulkan kebimbangan signifikan bagi negara-negara yang cuba memujuk Iran mengehadkan program pengayaannya.

Shirzadian berkata, Iran memerlukan sehingga 300 kilogram pengayaan uranium bagi membolehkan reaktor Teheran terus beroperasi bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Kemudahan itu - yang didakwa Iran digunakan untuk penyelidikan perubatan dan saintifik - hanya mempunyai bahan api yang cukup bagi beroperasi untuk tempoh satu tahun setengah akan datang.

Menurut beliau, Iran juga bersedia berbincang pelbagai saranan tentang isu tersebut pada pertemuan di Vienna dengan pegawai dari AS, Perancis, Rusia serta pemerhati dari agensi nuklear PBB. - AP

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_09.htm