Projek RM7.1 juta atasi banjir kilat

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in | Posted on 15 October 2008

Utusan Malaysia ( 16.10.08)

JOHOR BAHRU 15 Okt. - Masalah banjir kilat di Kampung Baru Plentong di sini dijangka dapat diatasi apabila projek pelebaran Sungai Plentong dan pembinaan jambatan baru kereta api bernilai RM7.1 juta disiapkan pada awal 2010.

Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat berkata, projek itu akan bermula sebaik sahaja syarikat yang mendapat tender projek tersebut diumumkan Disember ini.

Beliau berkata, terdapat enam syarikat bakal dinilai dalam proses pemilihan selepas tarikh tutup penawaran tender terbuka itu tamat pada 9 Oktober lalu.

''Projek ini akan mengambil masa 16 bulan untuk disiapkan dan ia dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering menghantui penduduk sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

''Kerja-kerja melebarkan sungai dan membina jambatan kereta api baru yang membabitkan landasan lebih panjang merupakan satu pelan yang komprehensif dan bukan dilakukan secara tergesa-gesa,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan meninjau Sungai Plentong di Kampung Baru Plentong di sini hari ini.

Tee Keat berkata, Sungai Plentong yang menjadi punca masalah banjir kilat itu akan dilebarkan menjadi kira-kira 35 meter berbanding keluasan sekarang 18.8 meter.

Jelasnya, jejambat landasan kereta api sedia ada pula akan digantikan dengan jambatan baru sepanjang 60 meter berbanding 44. 2 meter ketika ini.

''Langkah segera perlu diambil kerana masalah banjir kilat ini makin bertambah buruk, manakala tebing sungai sudah mula terhakis.

''Pada masa yang sama, pihak kementerian ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri terutamanya Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang prihatin dengan masalah yang dihadapi penduduk,'' katanya.

INDAH KHABAR DARI RUPA

1

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in

Oleh ; Ain CARE



Setelah tiga bulan para petani berpenat-lelah mengusahakan tanaman padi, akhirnya saat-saat yang ditunggu-tunggu telah tiba. Padi yang telah menguning sudah bersedia untuk dituai. Pada waktu ini ramai yang berpendapat para petani sudah tentu akan mengaut keuntungan yang banyak. Namun hakikatnya jauh sekali berbeza daripada yang disangkakan.



Hasil tinjauan yang telah saya lakukan bersama seorang penyelidik dan aktivis alam sekitar di Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang mendapati bahawa golongan petani berasa amat tertekan dengan keadaan semasa. Menurut En. Abdul Hadi bin Edei atau lebih dikenali sebagai Pak cik Hadi, seorang petani di kawasan tersebut, beliau menyatakan bahawa keadaan sekarang memang amat menekan para petani. Pak cik Hadi turut merungut keadaan pada hari ini telah menyebabkan sukar bagi mereka yang terlibat dalam kegiatan penanaman padi untuk meneruskan kerja-kerja mereka itu. Hal ini demikian kerana kos pengeluaran padi semakin meningkat. Menurut beliau lagi, harga racun yang naik secara mendadak telah menimbulkan banyak masalah bagi mereka yang mengusahakan sawah. Tambahan pula ramai dalam kalangan mereka yang menyewa sawah-sawah untuk diusahakan. Mereka tetap perlu membayar harga sewa tersebut dengan kadar yang telah ditetapkan walaupun hasil pulangan mereka merosot. Sebagai contoh, hasil temu-bual bersama Pak cik Hadi dan rakan-rakan beliau, menyatakan bahawa mereka perlu membayar sewa sebanyak RM200 bagi keluasan tanah satu relung. Harga ini memang tiada kompromi walaupun hasil merosot. Mereka juga boleh mengurangkan bayaran tersebut kepada RM100 tetapi mereka tidak akan dibenarkan lagi untuk mengusahakan sawah tersebut untuk musim yang seterusnya. Akibatnya sumber pendapatan mereka semakin merosot.Penat-lelah mereka itu tidak memberikan hasil pulangan yang menguntungkan malah merugikan lagi. Keadaan ini menyebabkan mereka hidup seolah-olah kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.



Ditanya lagi masalah yang dihadapi oleh golongan petani yang terlibat dalam kegiatan penanaman padi, beliau berkata banyak masalah yang dihadapi oleh golongan seperti mereka. Antaranya hasil pulangan bagi kegiatan penanaman padi tidak setimpal dengan penat-lelah mereka. Tambah beliau lagi masalah ketiadaan subsidi untuk racun turut menekan mereka dan ditambah pula dengan harga pasaran bagi racun yang tinggi dan tidak menentu. Menurut beliau lagi, golongan petani tidak mendapat maklumat yang terperinci mengenai jenis racun yang betul-betul sesuai untuk pengawalan serangga dan rumpai di kawasan sawah mereka. Kerajaan tidak memberikan garis panduan yang sepatutnya kepada mereka. Akibatnya mereka bertindak mencuba pelbagai jenis racun yang telah dimomok-momokkan oleh peniaga yang dikatakan paling berkesan. Akibatnya hasil tanaman mereka menjadi semakin tidak menjadi kerana penggunaan racun yang tidak sesuai dan pelbagai.

Akibat tekanan daripada harga racun yang tinggi dan semakin meningkat itu, ramai dalam kalangan petani yang telah menggunakan pelbagai jenis racun yang tidak diluluskan oleh kerajaan. Penggunaan racun yang tidak mendapat kelulusan ini adalah kerana tekanan mereka untuk menyelesaikan masalah serangan rumpai dengan lebih cepat dan mudah. Racun yang tidak mendapat kelulusan ini dikatakan lebih berkesan dan harganya pula adalah sama dengan racun yang lain. Sebagai contoh racun ditomex berupaya untuk mematikan rumput-rampai hingga ke akar. Racun yang berjenama Para Kuat pula biasanya digunakan untuk kawasan yang basah dan racun ini tidak berkesan kerana walaupun rumput cepat mati tetapi rumput tersebut akan tumpuh dengan lebih cepat.

Selain itu, bekalan baja yang dibekalkan oleh pihak Jabatan Pertanian juga dikatakan tidak berkualiti seperti baja cap dacing. Hasilnya mereka tidak mendapat pulangan yang lumayan malah mereka terpaksa menanggung kos pengeluaran yang amat tinggi. Lagipun kuantiti baja yang dibekalkan juga tidak mencukupi di sesetengah tempat seperti di Pulau Pinang. Syarat yang ketat juga menyukarkan pihak petani untuk mendapatkan subsidi baja. Keadaan ini menyukarkan lagi para petani untuk terus mengusahakan tanaman padi.



Hasil tinjauan tersebut juga mendapati para petani menghadapi masalah mengusahakan penanaman padi kerana tidak mempunyai sistem pengairan yang baik dan teratur. Masalah kekurangan bekalan air menyebabkan penanaman padi dua kali setahun tidak dapat dijalankan seperti yang telah dirancang. Para petani perlu menunggu musim hujan untuk meneruskan kerja-kerja penanaman padi. Namun begitu, akibat pembangunan yang giat dijalankan oleh manusia telah menyebabkan musim yang tidak menentu. Akibatnya petani terpaksa menunggu masa yang lama untuk meneruskan kerja-kerja penanaman padi. Di Negeri Pulau Pinang bekalan air diperoleh daripada Empangan Sungai Gedung dan Empangan Bukit Merah. Walaupun begitu petani tetap menghadapi masalah kekurangan bekalan air kerana tiada kerjasama dalam kalangan petani yang mempunyai sikap mementingkan diri sendiri.



Selain masalah bekalan air, para petani juga menghadapi masalah dari segi kesuburan tanah. Sebagai contoh, tanah di Pulau Pinang dikatakan kurang subur kerana mempunyai tahap keasidan yang tinggi berbanding dengan tanah-tanah di negeri-negeri lain seperti Kedah, Perlis dan Perak. Oleh yang demikian harapan petani adalah supaya terdapat pihak yang akan menjalankan penyelidikan ke atas tanah mereka dan seterusnya mencari kaedah untuk mengembalikan semula kesuburan tanah di kawasan tersebut. Selain itu petani di Pulau Pinang juga menghadapi masalah kerana tidak mempunyai jentera untuk mengusahakan tanaman padi. Mereka terpaksa mengimport jentera tersebut daripada negeri lain. Akibatnya mereka terpaksa membayar untuk kos mendapatkan jentera tersebut.



Para petani mengharapkan pihak kerajaan menentukan jenis racun yang sepatutnya digunakan oleh mereka agar mereka tidak terkeliru dengan pelbagai jenis racun yang terdapat di pasaran. Selain itu mereka juga mengharapkan kerajaan menyelaraskan penggunaan racun bagi semua negeri di samping memperbaiki sistem pengairan yang sedia ada supaya masalah bekalan air dapat di atasi.



Pihak Jabatan Pertanian juga seharusnya memandang serius masalah ini. Mereka perlu membantu para petani untuk meningkatkan lagi hasil pertanian. Mereka tidak boleh hanya bergantung pada wakil yang dilantik dalam kalangan kelompok petani sahaja untuk meninjau keadaan sebenar petani tetapi mereka seharusnya turun padang dan melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh golongan ini. Melalui tindakan ini sudah tentu mereka dapat mengetahui dengan lebih dekat masalah yang dihadapi oleh golongan petani.

LRT atasi kesesakan LDP

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in


Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT ( Utusan Malaysia - 16.10.08)



KUALA LUMPUR 15 Okt. - Kerajaan akan membina stesen transit aliran ringan (LRT) di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) sebagai cara untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk terutama di plaza tol Sunway dan Sungai Penchala.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, ia juga bagi menggantikan cadangan pembinaan satu laluan alternatif baru yang dikemukakan PLUS Expressways Berhad (PLUS) baru-baru ini bagi mengurangkan kesesakan yang dikategorikan 'paling teruk' di situ.

Menurutnya, sistem LRT adalah jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi masalah kesesakan di LDP terutama pada waktu kemuncak di empat plaza tolnya iaitu Petaling, Penchala, Puchong Barat dan Puchong Selatan.

"Sebahagian besar daripada jajaran lebuh raya ini merupakan jalan sedia ada yang dinaik taraf kerana plaza tol dibina di lokasi yang tidak mempunyai jalan alternatif yang munasabah.

"Contohnya, pada tahun lalu, jumlah trafik yang direkodkan di keempat-empat plaza tol adalah sebanyak 150.77 juta dengan purata harian 431,089. Jumlah itu hanyalah 71.1 peratus daripada trafik yang diunjurkan oleh syarikat konsesi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Galeri Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Abdul Munit Kasmin; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Judin Abd. Karim dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Hamzah Hasan.

Kelmarin, kementerian itu dilaporkan sedang mengkaji cadangan yang dikemukakan PLUS untuk membina satu laluan alternatif baru bagi mengurangkan masalah kesesakan di LDP yang kini sudah dikategorikan sebagai 'paling teruk'.

Mohd. Zin memberitahu, pemilihan LRT dibuat berdasarkan keadaan di sekitar itu yang kebanyakannya adalah kawasan perumahan dan memerlukan kos yang tinggi sekiranya pembinaan laluan alternatif baru terus dilaksanakan.

''Kalau kita buat jalan, lebih banyak kereta yang akan masuk. LRT adalah jalan penyelesaian terbaik dan kerajaan sentiasa serius untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas ini,'' ujarnya.

Beliau berkata, pembinaan LRT itu juga akan dimanfaatkan kepada semua masyarakat luar kerana lebih murah.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pihak LDP wajar melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menawarkan diskaun kadar tol bagi meringankan beban pengguna berdasarkan rekod kesesakan, kemalangan dan kedudukan syarikat yang menguntungkan.

''Jumlah kumulatif hasil tol bagi lebuh raya ini sejak dibuka Januari 1999 adalah sebanyak RM1.275 bilion dan pada masa yang sama, kerajaan telah membayar pampasan tunai berjumlah RM630.5 juta bagi pengurangan dan penyusunan semula kadar tol sehingga 2007,'' jelasnya.

Bahan buangan punca anak paus mati

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in

Utusan Malaysia ( 16.10.08)

KUANTAN 15 Okt. - Kematian seekor anak paus yang bangkainya ditemui terdampar di pantai Kuala Nenasi, Pekan semalam, dipercayai berpunca daripada bahan buangan yang ditemui di dalam perut mamalia itu.

Pegawai Penyelidik Unit Mamalia Marin, Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Mohd. Lazim Mohd. Saif berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahan buangan seperti plastik, botol minuman dan tali yang ditemui di dalam usus merupakan punca kematian anak paus seberat tiga tan itu.

''Setelah menjalankan pembedahan, kami menemui beberapa bahan buangan yang dibuang ke laut dan ditelan oleh anak paus itu seperti plastik, botol minuman dan tali.

''Bahan-bahan tersebut mungkin menyebabkan usus mamalia tersebut tersumbat dan mengalami kesakitan hingga tidak berdaya untuk berenang ke habitat asalnya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, penduduk Kampung Kuala Nenasi gempar apabila seekor anak paus yang masih hidup seberat kira-kira tiga tan terdampar di pantai Kuala Sungai Nenasi.

Anak paus berukuran 10 meter panjang itu dipercayai jenis Fin berdasarkan sirip belakang yang pendek, bukaan mulut yang panjang serta bergaris lurus selari dengan matanya.

Mamalia itu yang berjaya dilepaskan semula ke laut malam kelmarin bagaimanapun ditemui mati kira-kira pukul 2 petang semalam oleh penduduk di pantai berhampiran kawasan ia ditemui terdampar.

Mohd. Lazim memberitahu, kecederaan yang dialami pada bahagian muncung anak paus itu pula dipercayai akibat terlanggar batu karang menyebabkan tubuh mamalia itu menjadi lemah hingga terpisah daripada kumpulannya.

Ekoran itu, jelasnya, anak paus itu dipercayai jatuh sakit dan tidak berdaya melawan arus air laut mengakibatkan ia ditolak kembali berhampiran lokasi ia dijumpai kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Pahang, Mohamad Mat Saman ketika dihubungi memberitahu, bangkai anak paus yang ditanam sedalam kira-kira 3 meter itu akan digali dalam tempoh dua bulan lagi bagi mendapatkan tulangnya untuk tujuan penyelidikan dan pameran.

Difahamkan, ratusan orang ramai hadir melihat haiwan tersebut ketika bedah siasat dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang semalam sebelum ditanam di hujung Tanjung Nenasi kira-kira pukul 12 tengah malam hari yang sama.


Petikan Berita :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm