LRT atasi kesesakan LDP

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in | Posted on 15 October 2008


Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT ( Utusan Malaysia - 16.10.08)



KUALA LUMPUR 15 Okt. - Kerajaan akan membina stesen transit aliran ringan (LRT) di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) sebagai cara untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk terutama di plaza tol Sunway dan Sungai Penchala.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, ia juga bagi menggantikan cadangan pembinaan satu laluan alternatif baru yang dikemukakan PLUS Expressways Berhad (PLUS) baru-baru ini bagi mengurangkan kesesakan yang dikategorikan 'paling teruk' di situ.

Menurutnya, sistem LRT adalah jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi masalah kesesakan di LDP terutama pada waktu kemuncak di empat plaza tolnya iaitu Petaling, Penchala, Puchong Barat dan Puchong Selatan.

"Sebahagian besar daripada jajaran lebuh raya ini merupakan jalan sedia ada yang dinaik taraf kerana plaza tol dibina di lokasi yang tidak mempunyai jalan alternatif yang munasabah.

"Contohnya, pada tahun lalu, jumlah trafik yang direkodkan di keempat-empat plaza tol adalah sebanyak 150.77 juta dengan purata harian 431,089. Jumlah itu hanyalah 71.1 peratus daripada trafik yang diunjurkan oleh syarikat konsesi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Galeri Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Abdul Munit Kasmin; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Judin Abd. Karim dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Hamzah Hasan.

Kelmarin, kementerian itu dilaporkan sedang mengkaji cadangan yang dikemukakan PLUS untuk membina satu laluan alternatif baru bagi mengurangkan masalah kesesakan di LDP yang kini sudah dikategorikan sebagai 'paling teruk'.

Mohd. Zin memberitahu, pemilihan LRT dibuat berdasarkan keadaan di sekitar itu yang kebanyakannya adalah kawasan perumahan dan memerlukan kos yang tinggi sekiranya pembinaan laluan alternatif baru terus dilaksanakan.

''Kalau kita buat jalan, lebih banyak kereta yang akan masuk. LRT adalah jalan penyelesaian terbaik dan kerajaan sentiasa serius untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas ini,'' ujarnya.

Beliau berkata, pembinaan LRT itu juga akan dimanfaatkan kepada semua masyarakat luar kerana lebih murah.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pihak LDP wajar melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menawarkan diskaun kadar tol bagi meringankan beban pengguna berdasarkan rekod kesesakan, kemalangan dan kedudukan syarikat yang menguntungkan.

''Jumlah kumulatif hasil tol bagi lebuh raya ini sejak dibuka Januari 1999 adalah sebanyak RM1.275 bilion dan pada masa yang sama, kerajaan telah membayar pampasan tunai berjumlah RM630.5 juta bagi pengurangan dan penyusunan semula kadar tol sehingga 2007,'' jelasnya.

Cetak Artikel Ini

Comments (0)

Post a comment