Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in Isu Pertanian | Posted on 15 October 2008
Setelah tiga bulan para petani berpenat-lelah mengusahakan tanaman padi, akhirnya saat-saat yang ditunggu-tunggu telah tiba. Padi yang telah menguning sudah bersedia untuk dituai. Pada waktu ini ramai yang berpendapat para petani sudah tentu akan mengaut keuntungan yang banyak. Namun hakikatnya jauh sekali berbeza daripada yang disangkakan.
Hasil tinjauan yang telah saya lakukan bersama seorang penyelidik dan aktivis alam sekitar di Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang mendapati bahawa golongan petani berasa amat tertekan dengan keadaan semasa. Menurut En. Abdul Hadi bin Edei atau lebih dikenali sebagai Pak cik Hadi, seorang petani di kawasan tersebut, beliau menyatakan bahawa keadaan sekarang memang amat menekan para petani. Pak cik Hadi turut merungut keadaan pada hari ini telah menyebabkan sukar bagi mereka yang terlibat dalam kegiatan penanaman padi untuk meneruskan kerja-kerja mereka itu. Hal ini demikian kerana kos pengeluaran padi semakin meningkat. Menurut beliau lagi, harga racun yang naik secara mendadak telah menimbulkan banyak masalah bagi mereka yang mengusahakan sawah. Tambahan pula ramai dalam kalangan mereka yang menyewa sawah-sawah untuk diusahakan. Mereka tetap perlu membayar harga sewa tersebut dengan kadar yang telah ditetapkan walaupun hasil pulangan mereka merosot. Sebagai contoh, hasil temu-bual bersama Pak cik Hadi dan rakan-rakan beliau, menyatakan bahawa mereka perlu membayar sewa sebanyak RM200 bagi keluasan tanah satu relung. Harga ini memang tiada kompromi walaupun hasil merosot. Mereka juga boleh mengurangkan bayaran tersebut kepada RM100 tetapi mereka tidak akan dibenarkan lagi untuk mengusahakan sawah tersebut untuk musim yang seterusnya. Akibatnya sumber pendapatan mereka semakin merosot.Penat-lelah mereka itu tidak memberikan hasil pulangan yang menguntungkan malah merugikan lagi. Keadaan ini menyebabkan mereka hidup seolah-olah kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Ditanya lagi masalah yang dihadapi oleh golongan petani yang terlibat dalam kegiatan penanaman padi, beliau berkata banyak masalah yang dihadapi oleh golongan seperti mereka. Antaranya hasil pulangan bagi kegiatan penanaman padi tidak setimpal dengan penat-lelah mereka. Tambah beliau lagi masalah ketiadaan subsidi untuk racun turut menekan mereka dan ditambah pula dengan harga pasaran bagi racun yang tinggi dan tidak menentu. Menurut beliau lagi, golongan petani tidak mendapat maklumat yang terperinci mengenai jenis racun yang betul-betul sesuai untuk pengawalan serangga dan rumpai di kawasan sawah mereka. Kerajaan tidak memberikan garis panduan yang sepatutnya kepada mereka. Akibatnya mereka bertindak mencuba pelbagai jenis racun yang telah dimomok-momokkan oleh peniaga yang dikatakan paling berkesan. Akibatnya hasil tanaman mereka menjadi semakin tidak menjadi kerana penggunaan racun yang tidak sesuai dan pelbagai.
Akibat tekanan daripada harga racun yang tinggi dan semakin meningkat itu, ramai dalam kalangan petani yang telah menggunakan pelbagai jenis racun yang tidak diluluskan oleh kerajaan. Penggunaan racun yang tidak mendapat kelulusan ini adalah kerana tekanan mereka untuk menyelesaikan masalah serangan rumpai dengan lebih cepat dan mudah. Racun yang tidak mendapat kelulusan ini dikatakan lebih berkesan dan harganya pula adalah sama dengan racun yang lain. Sebagai contoh racun ditomex berupaya untuk mematikan rumput-rampai hingga ke akar. Racun yang berjenama Para Kuat pula biasanya digunakan untuk kawasan yang basah dan racun ini tidak berkesan kerana walaupun rumput cepat mati tetapi rumput tersebut akan tumpuh dengan lebih cepat.
Selain itu, bekalan baja yang dibekalkan oleh pihak Jabatan Pertanian juga dikatakan tidak berkualiti seperti baja cap dacing. Hasilnya mereka tidak mendapat pulangan yang lumayan malah mereka terpaksa menanggung kos pengeluaran yang amat tinggi. Lagipun kuantiti baja yang dibekalkan juga tidak mencukupi di sesetengah tempat seperti di Pulau Pinang. Syarat yang ketat juga menyukarkan pihak petani untuk mendapatkan subsidi baja. Keadaan ini menyukarkan lagi para petani untuk terus mengusahakan tanaman padi.
Hasil tinjauan tersebut juga mendapati para petani menghadapi masalah mengusahakan penanaman padi kerana tidak mempunyai sistem pengairan yang baik dan teratur. Masalah kekurangan bekalan air menyebabkan penanaman padi dua kali setahun tidak dapat dijalankan seperti yang telah dirancang. Para petani perlu menunggu musim hujan untuk meneruskan kerja-kerja penanaman padi. Namun begitu, akibat pembangunan yang giat dijalankan oleh manusia telah menyebabkan musim yang tidak menentu. Akibatnya petani terpaksa menunggu masa yang lama untuk meneruskan kerja-kerja penanaman padi. Di Negeri Pulau Pinang bekalan air diperoleh daripada Empangan Sungai Gedung dan Empangan Bukit Merah. Walaupun begitu petani tetap menghadapi masalah kekurangan bekalan air kerana tiada kerjasama dalam kalangan petani yang mempunyai sikap mementingkan diri sendiri.
Selain masalah bekalan air, para petani juga menghadapi masalah dari segi kesuburan tanah. Sebagai contoh, tanah di Pulau Pinang dikatakan kurang subur kerana mempunyai tahap keasidan yang tinggi berbanding dengan tanah-tanah di negeri-negeri lain seperti Kedah, Perlis dan Perak. Oleh yang demikian harapan petani adalah supaya terdapat pihak yang akan menjalankan penyelidikan ke atas tanah mereka dan seterusnya mencari kaedah untuk mengembalikan semula kesuburan tanah di kawasan tersebut. Selain itu petani di Pulau Pinang juga menghadapi masalah kerana tidak mempunyai jentera untuk mengusahakan tanaman padi. Mereka terpaksa mengimport jentera tersebut daripada negeri lain. Akibatnya mereka terpaksa membayar untuk kos mendapatkan jentera tersebut.
Para petani mengharapkan pihak kerajaan menentukan jenis racun yang sepatutnya digunakan oleh mereka agar mereka tidak terkeliru dengan pelbagai jenis racun yang terdapat di pasaran. Selain itu mereka juga mengharapkan kerajaan menyelaraskan penggunaan racun bagi semua negeri di samping memperbaiki sistem pengairan yang sedia ada supaya masalah bekalan air dapat di atasi.
Pihak Jabatan Pertanian juga seharusnya memandang serius masalah ini. Mereka perlu membantu para petani untuk meningkatkan lagi hasil pertanian. Mereka tidak boleh hanya bergantung pada wakil yang dilantik dalam kalangan kelompok petani sahaja untuk meninjau keadaan sebenar petani tetapi mereka seharusnya turun padang dan melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh golongan ini. Melalui tindakan ini sudah tentu mereka dapat mengetahui dengan lebih dekat masalah yang dihadapi oleh golongan petani.
Salam
pihak jabatan dah sampai kan semua maklumat berkaitan padi kepada petani...extension daerah yang menyebarkan pengetahuan agronomi termasuklah jenis racun,baja,kaedah penanaman,sehinggalah ke proses penuaian..cuma sama ada petani mengaplikasikannya atau agen extension tidak cekap.
macam di kedah kita menyediakan manual tanaman,tetapi tak pasti di pulau pinang macammana..
pemantauan kami adalah dari penyediaan tanah sehinggalah harvest proces.