Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in News Monitoring | Posted on 15 October 2008
Utusan Malaysia ( 16.10.08)
JOHOR BAHRU 15 Okt. - Masalah banjir kilat di Kampung Baru Plentong di sini dijangka dapat diatasi apabila projek pelebaran Sungai Plentong dan pembinaan jambatan baru kereta api bernilai RM7.1 juta disiapkan pada awal 2010.
Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat berkata, projek itu akan bermula sebaik sahaja syarikat yang mendapat tender projek tersebut diumumkan Disember ini.
Beliau berkata, terdapat enam syarikat bakal dinilai dalam proses pemilihan selepas tarikh tutup penawaran tender terbuka itu tamat pada 9 Oktober lalu.
''Projek ini akan mengambil masa 16 bulan untuk disiapkan dan ia dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering menghantui penduduk sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
''Kerja-kerja melebarkan sungai dan membina jambatan kereta api baru yang membabitkan landasan lebih panjang merupakan satu pelan yang komprehensif dan bukan dilakukan secara tergesa-gesa,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan meninjau Sungai Plentong di Kampung Baru Plentong di sini hari ini.
Tee Keat berkata, Sungai Plentong yang menjadi punca masalah banjir kilat itu akan dilebarkan menjadi kira-kira 35 meter berbanding keluasan sekarang 18.8 meter.
Jelasnya, jejambat landasan kereta api sedia ada pula akan digantikan dengan jambatan baru sepanjang 60 meter berbanding 44. 2 meter ketika ini.
''Langkah segera perlu diambil kerana masalah banjir kilat ini makin bertambah buruk, manakala tebing sungai sudah mula terhakis.
''Pada masa yang sama, pihak kementerian ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri terutamanya Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang prihatin dengan masalah yang dihadapi penduduk,'' katanya.
Cetak Artikel Ini
Comments (0)