Minda lestari utama kesedaran pulihara alam

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in , | Posted on 13 February 2009

Pemikiran kelas pertama sentiasa galak keseimbangan persekitaran, budaya hidup berkualiti


 

DALAM sebuah hadis sahih diriwayatkan Bukhari, daripada Nu'man ibn Basyir, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Contoh perbandingan orang yang berjuang menegakkan undang-undang Allah dengan orang yang melanggarnya adalah seperti sebuah kapal yang penuh dengan penumpang. Penumpang berkenaan mengambil undi masing-masing untuk menentukan tempat duduk, sesetengah mereka mendapat tempat di atas dan sebahagian lagi mendapat tempat di bawah.


 

Ketika mengambil air, orang di bawah terpaksa ke atas dan melintas tempat duduk mereka, dan ini dianggap mengganggu mereka. Orang di bawah lalu berkata: 'Jika kita menebuk lubang di bahagian kita (bahagian bawah) tentulah kita tidak mengganggu mereka yang di atas lagi.' Salah seorang daripada mereka mengambil kapak dan mula menebuk lubang itu.

Orang yang di atas bertanya, 'Apa yang dilakukan ini?' Jawab mereka, 'Kami selalu mengganggu kamu ketika kami berjalan mengambil air, sedangkan kami amat memerlukannya.' Jika mereka (orang di atas) memegang tangan orang yang menebuk lubang itu dan menegahnya, nescaya mereka menyelamatkannya dan menyelamatkan nyawa mereka sendiri. Jika mereka membiarkan bererti mereka membinasakannya dan membinasakan diri mereka sendiri."

Hadis panjang ini menjelaskan sekurang-kurangnya tiga perkara penting berkaitan hukum Allah, hubungan sesama manusia dan tanggungjawab memakmurkan alam mengikut proses ekosistem tabii. Hukum Allah dalam konteks hadis ini merujuk kepada peraturan dan syariah berkaitan dengan kehidupan manusia. Ini termasuk hal membabitkan fardu ain dan fardu kifayah dalam konteks persendirian atau bermasyarakat.

Gambaran suasana dalam kapal itu pula merujuk kepada keadaan manusia di dunia dengan pelbagai keadaan serta kerenahnya, manakala perbuatan menebuk kapal untuk mendapat air dengan mudah itu adalah perumpamaan melanggar peraturan dan hukum. Dalam konteks lebih luas, merosakkan ekosistem atau norma masyarakat.

Seperti suasana dalam 'kapal' maka begitulah juga dalam sesebuah masyarakat, semua pihak bukan saja perlu prihatin mengenai peraturan, hukum, ekosistem, norma dan fungsi sosial bahkan perlu sama-sama mengawasi dan memperbaiki keadaan secara proaktif. Jika berlaku pelanggaran peraturan, aktiviti merosakkan atau mencemarkan ekosistem, maka padahnya kepada semua seperti sebuah kapal yang ditebuk sewenang-wenangnya.

Hadis ini dikemukakan untuk menjelaskan peranan setiap individu dalam sesebuah masyarakat atau negara. Selain itu, hadis ini sesuai dijadikan renungan kerana ketika ini banyak kerosakan, bencana dan ketidaktentuan semakin berleluasa di serata dunia.

Bayangkan dalam keadaan beberapa bandar di Sabah dan Sarawak dilanda banjir besar, selatan Semenanjung pula sedang mengalami kemarau pada musim yang sepatutnya musim tengkujuh. Catatan taburan hujan di Johor ketika ini sangat sedikit, jauh berbanding kebiasaannya.

Dalam keadaan Kinglake, berhampiran Melbourne di selatan Australia dilanda kemarau dan tiupan angin kencang luar biasa sehingga menyukarkan usaha memadamkan kebakaran hutan, bandar Ingham di utara Australia mengalami banjir besar. Sementara benua Eropah pula mengalami musim sejuk melampau. Hal ini lebih parah jika dilihat dalam konteks sosioekonomi dengan suasana kemelesetan global kian membimbangkan.

Bagi pencinta alam dan aktivis sosial, apatah lagi berlatarbelakangkan pemikiran Islam, maka hadis itu relevan dan menjelaskan suasana. Di sinilah kepentingan serta peranan minda lestari dan jiwa ubudiyyah.

Minda lestari adalah tema penulisan umum saya sejak 2000 untuk memajukan idealisme menjadikan alam sekitar sebagai salah satu teras dalam pemikiran, penghayatan, pembangunan, pemasaran dan penjenamaan masyarakat Malaysia.

Minda lestari bermaksud pemikiran, gaya fikir dan disiplin akliah menjadikan kesejahteraan masyarakat sebagai matlamat pembangunan menerusi alam sekitar bersih dan selamat, sistem dan pengurusan cekap, dan dasar serta amalan gaya hidup selari fitrah insaniah.

Dalam konteks pembangunan fizikal misalnya, minda lestari memberi penekanan kepada keseimbangan ekosistem dalam seluruh aspek daripada perancangan (misalnya menggunakan mekanisme Kajian Impak Alam Sekitar, EIA), utiliti mesra alam (misalnya menggunakan kemudahan bekalan air menerusi penuaian air hujan dan sistem sanitasi ekologi), kaedah pembinaan (misalnya sistem selari dengan amalan mesra alam dari segi kawalan hakisan tanah) dan teknologi mesra alam (misalnya bangunan jimat tenaga dan bahan binaan yang diguna semula).

Pada hemat saya, sering kali kita tersilap langkah dalam meletakkan keutamaan untuk menghayati pemikiran dan cara hidup lestari mesra alam. Kadangkala kita terpaksa berbelanja besar untuk menunjukkan 'komitmen' mesra alam sedangkan salah satu ciri gaya hidup lestari ialah perbelanjaan berhemat dan penggunaan seluruh sumber seadanya, tanpa pembaziran.

Ada yang menggunakan ciri 'kecanggihan' teknologi sebagai petunjuk pelestarian. Malah ada juga yang terpaksa menggunakan barangan dan teknologi import 'mesra alam' walaupun mahal yang ternyata memberi kesan kepada tapak ekologi.

Minda lestari menjelaskan betapa gaya hidup mesra alam mestilah memenuhi pelbagai ciri pelestarian, antaranya selari dengan peraturan, perundangan, mesra warga, murah dan mudah. Berbasikal atau menaiki kenderaan awam ke tempat kerja, membayar bil pembetungan dan mengitar semula sampah adalah sebahagian amalan mesra alam yang tercerna daripada minda lestari.

Minda lestari juga berkait rapat dengan pemikiran atau minda kelas pertama. Memupuk minda kelas pertama juga adalah salah satu teras dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Minda kelas pertama bermakna pemikiran dan sikap progresif, maju dan proaktif yang membentuk budaya dan amalan hidup berkualiti, setanding bangsa dan negara maju.

Seperti bidang lain, pelestarian alam sekitar tidak akan berjaya tanpa keprihatinan dan dokongan masyarakat yang memiliki minda kelas pertama. Pada hemat saya, masih banyak perlu dilakukan untuk memupuk minda masyarakat Malaysia dalam soal pelestarian alam sekitar, apatah lagi jika diukur dari segi keprihatinan terhadap isu global seperti peningkatan suhu bumi dan perdagangan karbon. Pelestarian perlu menjadi teras aktiviti dan dihayati seluruh lapisan masyarakat dan sektor.


 

Sesungguhnya keselamatan sesebuah 'kapal' bukan hanya terletak pada kepakaran dan kebijaksanaan nakhoda dan pembantunya, malah juga pada setiap individu termasuk penumpang dalam 'kapal' itu. Bharian


 

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia