Masalah tenaga dunia dan potensi biofuel.

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in | Posted on 09 October 2008

Oleh: rausyanfikir, rujuk link sosialis kanan

Melangkah keabad yang baru memberi seribu satu cabaran yang perlu ditangani bersama sebagai penduduk dunia. Antara cabaran yang paling getir perlu ditangani bersama ialah krisis tenaga. Sejak bermulanya Revolusi Industri di Britain pada abad ke-18 hinggalah ke hari ini, tenaga yang menggerakkan pembangunan dan pertumbuhan dunia ialah bahan api fosil yang terdiri daripada minyak, gas, dan arang.
Ketiga-tiga sumber bahan api fosil ini dikategorikan sebagai non-renewable energy ataupun bahan api yang tidak boleh digunakan semula. Oleh kerana sifat bahan api ini sangat terhad dan tidak boleh dicipta dengan mudah, percaturan isu sumber tenaga dunia sangat bergantung ke atas bahan api fosil ini. Jelas ini memberi impak yang cukup besar ke atas ekonomi, sosial dan politik dunia.
Teori Kemuncak Penggunaan Minyak ( Peak Oil Theory) yang dipelopori oleh M.King Hubbert, seorang geosaintis dari Shell pada tahun 1956 merupakan satu kajian empirikal yang dijalankan oleh beberapa ahli akademik Barat berkenaan tempoh di mana penggunaan sumber minyak dunia akan berada di kemuncaknya. Terbukti teori ini dapat menggambarkan sebahagian besar realiti yang industri tenaga sedang hadapi pada waktu ini di mana kesukaran untuk menggali lebih banyak minyak mula dirasai oleh syarikat-syarikat minyak gergasi seperti BP, Shell dan Exxon.
Oleh kerana kadar penemuan lapangan minyak yang baru semakin rendah dan penemuan lapangan minyak yang baru ini, kebanyakkannya dipakejkan dengan risiko yang tinggi seperti masalah geopolitik seperti di Iraq dan tidak kurang juga cabaran geofizik seperti menerokai telaga minyak di laut dalam dan kawasan sejuk yang melampau seperti di Artik . Ini semua telah memberi satu momentum yang cukup kuat kepada naik turunnya harga minyak dunia yang bersandarkan kuasa pasaran yang berasaskan pengeluaran dan perminataan (supply and demand).
Para analisis dan ahli akademik dalam bidang sumber tenaga telah beralih arah ke satu bentuk penyelesaian yang lebih bersifat kesinambungan iaitu kearah sumber tenaga alternatif yang boleh dip roses semula. Antara jenis sumber tenaga boleh dijana semula ialah angin, ombak, nuklear dan biofuel.
50 tahun dahulu, pakar industri tidak pernah memandang serius akan potensi tumbuhan untk menjana tenaga secara besar-besaran. Oleh kerana masyarakat dunia sedang menghadapi ancaman kehabisan sumber tenaga bahan api fosil, sejajar dengan pertumbuhan bidang bioteknologi, potensi biofuel sebagai sumber tenaga alternatif untuk mengimbangi krisis tenaga dunia berada di tahap yang memberangsangka.
Presiden Lula Da Silva dari Brazil telah merombak polisi pertanian yang bersifat komoditi makanan kepada komoditi bahan api yang dapat memberi keuntungan yang lebih berlipat ganda kepada pengeluar biofuel yang bersumberkan tebu. Brazil juga giat menjalankan kerjasama yang erat dengan Amerika Syarikat bagi mengeksploitasi peluang ekonomi yang cukup besar di pasaran benua Amerika serta pasaran dunia. Kebanyakkan Negara-negara membangun mengambil peluang potensi biofuel ini untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak yang semakin melangit harganya akibat krisis seperti berlaku di Timur Tengah.
Tidak kurang juga negara kita yang turut mencuri peluang yang ada bagi mengetengahkan kelapa sawit sebagai bahan api alternatif. Kerajaan dan badan-badan swasta sedang giat melalukan penyelidikan untuk membangunkan potensi kelapa sawit sebagai sumber bahan api alternative untuk kegunaan dalam dan luar negara. Pakar industri dari Barat menyedari hakikat Malaysia sebagai potensi besar untuk menerajui perkembangan industri biofuel dunia dalam kelapa sawit dan ini bakal menggugat beberapa sektor penting dalam industri tenaga sehingakan mereka sanggup melakukan propaganda untuk memburukkan industi minyak sawit negara yang menyatakan penebangan hutan yang berleluasa sehingga mampu menggugat habitat Orang Utan. Propaganda sebegini yang lebih dikenali sebagai green washing tidak lain tidak bukan hanyalah untuk melindugi kepentingan industri lain yang sedang mereka terokai.
Walau bagaimanapun prospek yang mampu diberi oleh biofuel kepada ekonomi Negara, penggubal polisi, ahli akademik dan badan-badan kerajaan yang lain perlulah mengetengahkan isu ini untuk dibahaskan secara perinci dan teliti. Kadang-kadang dengan nama pembangunan ekonomi kita terlepas pandang beberapa perkara penting yang mampu menggugat pelbagai perkara dalam masyarakat seperti mana rakyat Mexico terpaksa menghadapi kenaikkan harga makanan tortilla yang diperbuat daripada jagung setelah harga jagung dunia melambung tinggi akibat permintaan biofuel. Bukankah ini juga melibatkan isu moral dan etika? Siapakah yang berhak mendapat tanaman tersebut? Adakah jutaan manusia dari dunia ketiga untuk mereka mengalas perut daripada kebuluran ataupun tanaman tersebut lebih sesuai di gunakan oleh kereta-kereta yang dipandu oleh rakyat Negara-negara dunia pertama?
Untuk melihat pandangn sisi berkenaan isu ini, eloklah kita rujuk Negara sosialis demokratik seperti Venezuela dan Bolivia. Mereka memandang serius akan isu biofuel ini kerana dengan perubahan struktur dan peranan tanaman mereka yang berpotensi untuk dijadikan biofuel, bakal melahirkan krisis makanan yang besar ke atas rakyat mereka. Jagung merupakan makanan ruji masyarakat benua Amerika Selatan dan oleh kerana kepesatan industri biofuel akhir-akhir ini, para peladang telah terdorong untuk berubah angin daripada menjual hasil tanaman mereka untuk makanan masyarakat kepada sumber bahan api bifuel.
Tidak kurang juga masalah yang bakal dihadapi di Negara kita. Permintaan yang tinggi mendorong para pengusaha ladang untuk menjalankan perladangan kelapa sawit secara besar-besaran dan ini bakal mengubah lanskap perhutanan Negara yang bakal digantikan dengan lading-ladang berskala besar untuk tujuan pembangunan sumber bahan api daripada kelapa sawit. Itu sahaja bakal mengundang bencana seperti mengganggu kawasan tadahan air dan kemusnahan flora dan fauna yang ramai telah lupa betapa peranan mereka(haiwan dan tumbuhan) dalam mengimbangi system ekologi kehidupan.
Kajian yang dibuat oleh pakar biofuel dunia turut menggariskan risiko seperti masalah kecatuan air akibat penggunaan air untuk mengairi ladang-ladang yang bersaiz besar ini. China dan India yang turut sama mengejar peluang dalam industri biofuel ini telah diberi kritikan oleh para saintis dan badan penyelidikan makanan di seluruh dunia akibat kerakusan mengusahakan ladang yang berasaskan tanaman biofuel untuk menampung keperluan sumber tenaga domestik berbanding keperluan menggunakan air dan tanah untuk tujuan memproses tanaman untuk makanan penduduk.
Persoalan yang perlu kita timbulkan disini adalah adakah Negara kita sudah bersedia untuk menghadapi krisis makanan yang bakal timbul jikalau tanah dan sumber asas seperti air digunakan secara berleluasa untuk tujuan penanaman tanaman biofuel? Kita mungkin bakal menjana peningkatan ekonomi dalam sektor tenaga dan bahan api tetapi dalam masa yang sama kita juga bakal menghadapi risiko kecatuan makanan dan air seterusnya bakal melambungkan harga barang keperluan seperti yang berlaku di Mexico.
Walau apa pun keputusan akhirnya, polisi biofuel Negara perlu dikaji dengan lebih mendalam dan bukan hanya dalam konteks keuntungan ekonomi tetapi mestilah juga diselusuri dengan konteks sains sosial yang dapat membuka lebih banyak pintu perbincangan berkenaan kesan jangka pendek dan panjang polisi Negara kita terhadap pembangunan sumber bahan api alternatif.

Cetak Artikel Ini

Comments (0)

Post a comment