Minda lestari utama kesedaran pulihara alam

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in , | Posted on 13 February 2009

Pemikiran kelas pertama sentiasa galak keseimbangan persekitaran, budaya hidup berkualiti


 

DALAM sebuah hadis sahih diriwayatkan Bukhari, daripada Nu'man ibn Basyir, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Contoh perbandingan orang yang berjuang menegakkan undang-undang Allah dengan orang yang melanggarnya adalah seperti sebuah kapal yang penuh dengan penumpang. Penumpang berkenaan mengambil undi masing-masing untuk menentukan tempat duduk, sesetengah mereka mendapat tempat di atas dan sebahagian lagi mendapat tempat di bawah.


 

Ketika mengambil air, orang di bawah terpaksa ke atas dan melintas tempat duduk mereka, dan ini dianggap mengganggu mereka. Orang di bawah lalu berkata: 'Jika kita menebuk lubang di bahagian kita (bahagian bawah) tentulah kita tidak mengganggu mereka yang di atas lagi.' Salah seorang daripada mereka mengambil kapak dan mula menebuk lubang itu.

Orang yang di atas bertanya, 'Apa yang dilakukan ini?' Jawab mereka, 'Kami selalu mengganggu kamu ketika kami berjalan mengambil air, sedangkan kami amat memerlukannya.' Jika mereka (orang di atas) memegang tangan orang yang menebuk lubang itu dan menegahnya, nescaya mereka menyelamatkannya dan menyelamatkan nyawa mereka sendiri. Jika mereka membiarkan bererti mereka membinasakannya dan membinasakan diri mereka sendiri."

Hadis panjang ini menjelaskan sekurang-kurangnya tiga perkara penting berkaitan hukum Allah, hubungan sesama manusia dan tanggungjawab memakmurkan alam mengikut proses ekosistem tabii. Hukum Allah dalam konteks hadis ini merujuk kepada peraturan dan syariah berkaitan dengan kehidupan manusia. Ini termasuk hal membabitkan fardu ain dan fardu kifayah dalam konteks persendirian atau bermasyarakat.

Gambaran suasana dalam kapal itu pula merujuk kepada keadaan manusia di dunia dengan pelbagai keadaan serta kerenahnya, manakala perbuatan menebuk kapal untuk mendapat air dengan mudah itu adalah perumpamaan melanggar peraturan dan hukum. Dalam konteks lebih luas, merosakkan ekosistem atau norma masyarakat.

Seperti suasana dalam 'kapal' maka begitulah juga dalam sesebuah masyarakat, semua pihak bukan saja perlu prihatin mengenai peraturan, hukum, ekosistem, norma dan fungsi sosial bahkan perlu sama-sama mengawasi dan memperbaiki keadaan secara proaktif. Jika berlaku pelanggaran peraturan, aktiviti merosakkan atau mencemarkan ekosistem, maka padahnya kepada semua seperti sebuah kapal yang ditebuk sewenang-wenangnya.

Hadis ini dikemukakan untuk menjelaskan peranan setiap individu dalam sesebuah masyarakat atau negara. Selain itu, hadis ini sesuai dijadikan renungan kerana ketika ini banyak kerosakan, bencana dan ketidaktentuan semakin berleluasa di serata dunia.

Bayangkan dalam keadaan beberapa bandar di Sabah dan Sarawak dilanda banjir besar, selatan Semenanjung pula sedang mengalami kemarau pada musim yang sepatutnya musim tengkujuh. Catatan taburan hujan di Johor ketika ini sangat sedikit, jauh berbanding kebiasaannya.

Dalam keadaan Kinglake, berhampiran Melbourne di selatan Australia dilanda kemarau dan tiupan angin kencang luar biasa sehingga menyukarkan usaha memadamkan kebakaran hutan, bandar Ingham di utara Australia mengalami banjir besar. Sementara benua Eropah pula mengalami musim sejuk melampau. Hal ini lebih parah jika dilihat dalam konteks sosioekonomi dengan suasana kemelesetan global kian membimbangkan.

Bagi pencinta alam dan aktivis sosial, apatah lagi berlatarbelakangkan pemikiran Islam, maka hadis itu relevan dan menjelaskan suasana. Di sinilah kepentingan serta peranan minda lestari dan jiwa ubudiyyah.

Minda lestari adalah tema penulisan umum saya sejak 2000 untuk memajukan idealisme menjadikan alam sekitar sebagai salah satu teras dalam pemikiran, penghayatan, pembangunan, pemasaran dan penjenamaan masyarakat Malaysia.

Minda lestari bermaksud pemikiran, gaya fikir dan disiplin akliah menjadikan kesejahteraan masyarakat sebagai matlamat pembangunan menerusi alam sekitar bersih dan selamat, sistem dan pengurusan cekap, dan dasar serta amalan gaya hidup selari fitrah insaniah.

Dalam konteks pembangunan fizikal misalnya, minda lestari memberi penekanan kepada keseimbangan ekosistem dalam seluruh aspek daripada perancangan (misalnya menggunakan mekanisme Kajian Impak Alam Sekitar, EIA), utiliti mesra alam (misalnya menggunakan kemudahan bekalan air menerusi penuaian air hujan dan sistem sanitasi ekologi), kaedah pembinaan (misalnya sistem selari dengan amalan mesra alam dari segi kawalan hakisan tanah) dan teknologi mesra alam (misalnya bangunan jimat tenaga dan bahan binaan yang diguna semula).

Pada hemat saya, sering kali kita tersilap langkah dalam meletakkan keutamaan untuk menghayati pemikiran dan cara hidup lestari mesra alam. Kadangkala kita terpaksa berbelanja besar untuk menunjukkan 'komitmen' mesra alam sedangkan salah satu ciri gaya hidup lestari ialah perbelanjaan berhemat dan penggunaan seluruh sumber seadanya, tanpa pembaziran.

Ada yang menggunakan ciri 'kecanggihan' teknologi sebagai petunjuk pelestarian. Malah ada juga yang terpaksa menggunakan barangan dan teknologi import 'mesra alam' walaupun mahal yang ternyata memberi kesan kepada tapak ekologi.

Minda lestari menjelaskan betapa gaya hidup mesra alam mestilah memenuhi pelbagai ciri pelestarian, antaranya selari dengan peraturan, perundangan, mesra warga, murah dan mudah. Berbasikal atau menaiki kenderaan awam ke tempat kerja, membayar bil pembetungan dan mengitar semula sampah adalah sebahagian amalan mesra alam yang tercerna daripada minda lestari.

Minda lestari juga berkait rapat dengan pemikiran atau minda kelas pertama. Memupuk minda kelas pertama juga adalah salah satu teras dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Minda kelas pertama bermakna pemikiran dan sikap progresif, maju dan proaktif yang membentuk budaya dan amalan hidup berkualiti, setanding bangsa dan negara maju.

Seperti bidang lain, pelestarian alam sekitar tidak akan berjaya tanpa keprihatinan dan dokongan masyarakat yang memiliki minda kelas pertama. Pada hemat saya, masih banyak perlu dilakukan untuk memupuk minda masyarakat Malaysia dalam soal pelestarian alam sekitar, apatah lagi jika diukur dari segi keprihatinan terhadap isu global seperti peningkatan suhu bumi dan perdagangan karbon. Pelestarian perlu menjadi teras aktiviti dan dihayati seluruh lapisan masyarakat dan sektor.


 

Sesungguhnya keselamatan sesebuah 'kapal' bukan hanya terletak pada kepakaran dan kebijaksanaan nakhoda dan pembantunya, malah juga pada setiap individu termasuk penumpang dalam 'kapal' itu. Bharian


 

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia

Kealpaan Membawa Bencana Besar.

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in | Posted on 09 February 2009

Angka korban kini cecah 135 kepada 131 -Bharian


 

HEALESVILLE: Angka kematian kebakaran hutan terburuk dalam sejarah Australia meningkat kepada 135 semalam, dengan Perdana Menteri, Kevin Rudd, menyifatkan tragedi itu umpama pembunuhan beramai-ramai.

Polis semalam mengisytiharkan beberapa bandar yang musnah akibat kebakaran itu sebagai tempat kejadian jenayah, dengan pihak berkuasa mengesyaki lebih 400 kebakaran adalah disebabkan oleh perbuatan khianat.

Polis menutup sekurang-kurangnya dua bandar, Marysville dan Kinglake di mana berpuluh-puluh kematian dicatatkan dengan mewujudkan beberapa pusat pemeriksaan di tepi jalan dan mengawal kemasukan ke kawasan terbabit.

Pesuruhjaya Polis Victoria, Christine Nixon, berkata lima pakar penyiasat dihantar di tempat kejadian di Churchill timur Melbourne dan akan menghantar beberapa yang lain di tempat kejadian lain.

"Kinglake mencatat kematian tinggi, tetapi setiap kes akan disiasat sebagai satu perbuatan jenayah," kata Nixon kepada radio Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Ini berikutan dua orang didakwa menyebabkan kebakaran hutan terburuk di tenggara Australia hujung minggu lalu yang turut memusnahkan lebih 700 rumah.

Seorang lelaki berusia 31 tahun didakwa memulakan kebakaran yang menyebabkan kemusnahan hampir 200 hektar kawasan hutan di Peats Ridge, New South Wales, dihadapkan ke mahkamah.

Seorang lagi ialah budak lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membakar bahan letupan menyebabkan kebakaran kecil di Blue Mountain berhampiran Sydney Ahad lalu tetapi dibebaskan dengan jaminan dan akan didakwa di mahkamah bulan depan.

Walaupun kebakaran berkenaan tidak menyebabkan kematian, polis mengesyaki kejadian perbuatan sengaja dilakukan pihak tertentu dalam kebakaran besar di negara jiran Victoria di mana ia menyebabkan jumlah kematian yang besar.

Mereka yang didapati bersalah menyebabkan kebakaran hutan yang membawa kematian boleh dipenjara sehingga 25 tahun.

Dari udara, kawasan di sekitar kelihatan hitam. Seluruh hutan berkurangan rentung dan menjadi abu. Perkhidmatan bomba berkata, sekurang-kurangnya 2,200 kilometer persegi dilaporkan musnah terbakar.


 

Hanya kelihatan lima rumah masih selamat daripada lebih 40 di sebuah kawasan kejiranan di daerah Kinglake. Hampir semua kematian dicatatkan di Victoria di mana sekurang-kurangnya 750 rumah dilaporkan rentung. - AP/AFP

Harapkan pagar, Pagar tak boleh harap!!

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in


 

4 kakitangan Jabatan Perhutanan Pahang dituduh rasuah- Bharian

TEMERLOH: Empat kakitangan Jabatan Perhutanan Pahang, termasuk tiga berjawatan Pengawas Hutan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM67,050.

Semua mereka mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibaca mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.


 

Pendirian Care USM terhadap Isu Ulu Muda

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted on 07 February 2009

Kenyataan Media Bersama Sahabat Ulu Muda II kepada Cadangan Pembalakan di Ulu Muda


 

Kepentingan Hutan Ulu Muda

Hutan Ulu Muda mempunyai keluasan 160,000 hektar (dua kali ganda saiz negeri Perlis) yang merangkumi tiga daerah di timur laut negeri Kedah iaitu Baling, Padang Terap dan Sik. Kawasan Ulu Muda terdiri daripada banyak hutan simpan dan yang paling besar adalah Hutan Simpan Kekal Ulu Muda (rujuk Jadual 1). Terdapat tiga tasik buatan manusia di dalam kawasan Ulu Muda yang dikenali sebagai Muda, Pedu dan Ahning. Terdapat juga tiga buah empangan dibangunkan di kawasan berkenaan yang mana sumber airnya adalah dari kawasan tadahan air berdekatan. Malah menjadi sumber bekalan air utama kepada negeri Kedah, Penang dan Perlis untuk penanaman padi dan juga kegunaan demostik dan industri.

Jadual 1 : Hutan Simpan Kekal (HSK) dalam kawasan Ulu Muda

Nama HSK

Keluasan (Hektar)

HSK Ulu Muda

105,060

HSK Pedu

15,29

HSK Padang Terap

12,785

HSK Bukit Keramat (Cadangan)

10,226

HSK Chabar Besar

8,827

HSK Bukit Saiong (Cadangan)

8,191

HSK Ulu Muda (Tambahan)

1,359

HSK Chabar Kecil

1,184

Jumlah

162,931

Sumber : Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah 2003

Hutan Ulu Muda memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air untuk membekalkan air kepada Empangan Pedu, Muda dan Ahning. Di samping itu, menjadi sumber kepada sungai-sungai utama yang menyediakan 80% air minuman untuk Penang, Kedah dan sebahagian kecil ke Perlis.

Kedah yang juga dikenali dengan jolokan nama Jelapang Padi merupakan pembekal padi utama di Semenanjung Malaysia. Rancangan Pengairan Muda yang bertujuan untuk mengairi kawasan padi di Kedah mendapat sumber air utama daripada Hutan Ulu Muda. Di bawah rancangan pengairan muda ini hampir 40% sumber padi Malaysia dihasilkan dan menjadi punca pendapatan hampir 63,000 keluarga pesawah. Di bawah Polisi Pertanian Kebangsaan Ketiga (1998-2010) kawasan ini telah dikenalpasti sebagai antara 8 jelapang padi terbesar dan kawasan yang akan dikekalkan. Bertujuan untuk memastikan Malaysia berkeupayaan menghasilkan 90% pengeluaran padi negara pada tahun 2010. Oleh itu, mempertahankan kawasan sumber air adalah amat penting untuk menjamin bekalan makanan mencukupi terutamanya diwaktu dunia sedang berhadapan dengan krisis makanan.

Punca utama pembentukan kebanyakkan sungai-sungai di Kedah adalah daripada Hutan Ulu Muda termasuk Sungai Muda dan Sungai Kedah. Unjurannya sehingga ke muara sungai yang ditumbuhi pohon-pohon bakau menjadikan kawasan terbabit kaya dengan pelbagai sumber hidupan air. Ini menjadi salah satu sumber pendapatan kepada para nelayan sepertimana pesawah yang bergantung kepada sungai. Selain itu, sungai juga penting bagi memastikan ekosistem sekitar tidak terancam seperti kebanyakkan yang terdapat di dataran lumpur di sepanjang pantai Kedah. Kehadiran burung hijrah menjadi tarikan penting di kawasan ini di samping kewujudan pelbagai hidupan bercengkerang seperti kerang, kepah, udang dan ketam.

Kawasan industri Kulim Hi Tech Park di Kedah dan Penang yang membangun di kawasan Bayan Baru dan Seberang Prai juga mendapat bekalan air daripada Hutan Ulu Muda. Indusri pelancongan di Penang khususnya sektor perhotelan bergantung kepada sumber air yang sama.

Di dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Draf Rancangan Struktur Negeri Kedah telah mengenalpasti kawasan Ulu Muda sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS 1) yang tidak membenarkan sebarang pembangunan dan aktiviti pembalakan di kawasan ini. Ini penting untuk pemuliharaan pelbagai jenis hidupan mamalia seperti Gajah Asia, Harimau Malaysia, tapir, seladang dan harimau bintang. Di dalam kawasan ini juga terdapat kawasan pemuliharaan habitat burung yang dikenali sebagai Important Bird Area (IBA) yang menempatkan pelbagai jenis burung. Malah kawasan Ulu Muda ini kaya dengan pelbagai biodiversiti yang berpotensi untuk perkembangan berbagai potensi dalam bentuk pendidikan, penyelidikan dan produk dan perkhidmatan bukan balak yang masih belum diterokai.

Cadangan Pembalakan Pembalakan Helikopter di Ulu Muda

Cadangan pembalakan menggunakan helikopter di Kawasan Hutan Simpan Ulu Muda pernah di buat pada tahun 2002 oleh Kerajaan Negeri Kedah semasa YAB Dato' Seri Syed Razak bin Syed Zain menjadi Menteri Besar. Cadangan ini menimbulkan kontroversi sehingga tertubuhnya Sahabat Ulu Muda pada 2003. Jawatankuasa yang terdiri daripada 21 badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat tertubuh bagi membantah cadangan pembalakan di Ulu Muda. Walaupun, Menteri Besar Kedah memberi jaminan bahawa projek ini adalah "mesra alam" tetapi Laporan Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA) yang dikemukakan telah ditolak pada Mac 2003.

Pada 18 Mei 2003, Kerajaan Pusat melarang aktiviti pembalakan di kawasan Ulu Muda dan menyarankan Hutan Ulu Muda digazet sebagai kawasan tadahan air. Memetik kepada kenyataan Menteri Industri, Datuk Seri (sekarang Tun) Dr. Lim Keng Yaik menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan membayar bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Kedah kerana kehilangan sumber hasil balak akibat pengharaman pembalakan berkenaan.

Namun, satu kejutan besar berlaku apabila terdapat cadangan membalak di kawasan Ulu Muda. Kali ini cadangannya adalah dari Menteri Besar Kedah yang baru, iaitu YAB Azizan Abdul Razak. Kenyataan beliau itu menyatakan bahawa Kerajaan Kedah tetap akan membalak di kawasan tadahan air Ulu Muda walaupun Kerajaan Persekutuan membayar balik gantirugi yang dijanjikan dan masih belum ditunaikan sejumlah RM100 juta setiap tahun.

Berdasarkan kenyataan Menteri Besar cadangan yang dikemukakan adalah sama sepertimana yang pernah dikemukakan pada tahun 2003. Beliau juga menyatakan bahawa kaedah yang akan digunapakai adalah mesra alam tetapi berdasarkan kepada Laporan Impak Alam Sekitar (DEIA) yang dikeluarkan pada 2003 dianggarkan lebih daripada 4 juta pokok akan ditebang dengan laluan balak sejauh 404km dengan lebar sehingga 10-24m. Impaknya akan memberikan kesan buruk kepada nilai ekonomi sumber air kawasan tadahan air Ulu Muda ini.

Pendirian dan Cadangan Sahabat Ulu Muda II

Melihat perkembangan konflik yang sekali lagi berlaku terhadap Hutan Ulu Muda beberapa kumpulan alam sekitar utama dan kumpulan masyarakat telah bersetuju menghidupkan semula Sahabat Ulu Muda II (SUM II) bagi mengelakkan kesan sosial, alam sekitar dan krisis makanan kesan dari penebangan hutan ulu muda ini. Pendirian gabungan ini adalah seperti berikut;

1. Sahabat Ulu Muda II berpendirian bahawa kawasan Ulu Muda perlu bebas daripada sebarang aktiviti pembalakan. Sebarang bentuk pembalakan dengan apa jua alasan tidak harus dibenarkan di kawasan Ulu Muda. Kerajaan Persekutuan seharusnya berpegang tegas dengan kenyataan yang dikeluarkan pada 18 Mei 2003 yang melarang sebarang aktiviti pembalakan di Ulu Muda.

2. Kekayaan sumber biodoversiti Ulu Muda berpotensi untuk menjana sumber hutan bukan kayu kayan dan perkhidmatannya perlu dilindungi dan dipulihara bagi memastikan kepentingan jangka panjang untuk negeri dan negara secara amnya. Bagi memastikan kawasan ini terus terpelihara, keseluruhan kawasan tadahan air Ulu Muda harus diwartakan sebagai kawasan Taman Negara atau Taman Negeri. Pelan pengurusan harus disediakan oleh negeri atau taman negara dan juga aktiviti pelancongan harus dipromosikan sebagai usaha untuk memastikan hutan diurus secara mampan bagi kebaikan jangka panjang kepada kerajaan dan orang awam.

3. Kerajaan Persekutuan harus menunaikan janji untuk membayar balik gantirugi kepada Kerajaan Negeri Kedah yang tidak membalak di kawasan Ulu Muda. Pembayaran tersebut boleh dilakukan melalui peruntungan tahunan untuk pembangunan yang mana jumlahnya setimpal dengan nilai kawasan hutan yang dilindungi oleh kerajaan negeri.

4. Tabung Dana Ulu Muda harus ditubuhkan dan keuntungan hasil sumber air Ulu Muda perlu disalurkan ke dalam tabung dana tersebut. Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu menyumbang ke dalam dana ini disamping syarikat swasta dan juga orang persendirian harus dilibatkan. Jawatankuasa Tabung Dana itu perlu terdiri daripada Kerajaan Persekutuan, agensi di peringkat negeri, sektor-sektor swasta, petani dan NGO perlu dilibatkan bagi memastikan dana yang dikumpulkan digunakan sebaik mungkin untuk mempertahan kawasan tadahan air Ulu Muda.

Ahli Gabungan Sahabat Ulu Muda II

1. Malayisa Nature Society (MNS)

2. Malaysia Karst Society (MKS)

3. Sahabat Alam Malaysia (SAM)

4. WWF-Malaysia

5. Environmental Protection Society of Malaysia (ESPM)

6. WaterWatch Penang

7. Partners of Community Organistions (PACOS Trust)

8. Treat Every Environment Special (TrEES)

9. Environmental Management and Research Organization of Malaysia (Ensearch)

10. Muafakat Warga Desa Negeri Kedah (Rural Citizens)

11. Kumpulan Bertindak Petani MADA

12. Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Komuniti (KOMUNITI)

13. Campus Environmentalist Network (CARE)

14. Gabungan Angkatan Sahabat Alam Sekitar Nasional (GAGASAN)

15. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

16. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

17. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM Penang)

18. Jaringan Nelayan Pantai Semenanjung (JARING)

19. Pertubuhan Prihatin Kesihatan & Sosial Malaysia (PRIHATIN MALAYSIA)

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi;

1. Nizam Mahshar

Sekretariat Sahabat Ulu Muda II

c/o Sahabat Alam Malaysia

21, Jalan Lintang Delima 15,

117000 Pulau Pinang

Tel : 04-6596930

Fax : 04-6596931

Email : sam_inquiry@yahoo.com

2. Surin Suksuwan

WWF-Malaysia

49. Jalan SS23/15

Taman SEA,

47400 Petaling Jaya

Selangor

Tel : 03-78033772

Fax : 03-78335157

Email : suksuwan@wwf.org.my

HENTIKAN PENAMBAKAN LAUT DI GELUGOR

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in

 
Penambakan Laut


Unit Nelayan Sungai Gelugor, Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) & Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendesak agar kerja-kerja penambakan laut di Gelugor (berhampiran jambatan Pulau Pinang) dihentikan serta merta.

Penambakan laut memberi impak yang besar kepada alam sekitar dan masyarakat sekeliling terutamanya nelayan di sekitar Gelugor. Unit Nelayan Sungai Gelugor, PIFWA dan SAM menyatakan keresahan dan kekhuatiran melihatkan kepada kesan-kesan penambakan yang sedang dijalankan.

Nelayan di kawasan Gelugor menghadapi kesukaran untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan. Mereka terpaksa pergi lebih jauh dan mengambil masa yang lama sekaligus meningkatkan penggunaan petrol. Sejak kerja-kerja penambakan dilaksanakan pendapatan nelayan telah berkurangan. 

Kerajaan telah membina pengkalan yang baru di Bakau Street dan mengarahkan semua nelayan Gelugor untuk berpindah ke sana tanpa memikirkan faktor-faktor kebajikan nelayan. Jarak perjalanan dari rumah mereka ke pengkalan baru tersebut memakan masa. Rata-rata nelayan terdiri daripada golongan yang berusia dan sebahagiannya tidak mempunyai kenderaan. Lebih mendukacitakan pandangan keseluruhan masyarakat nelayan yang terlibat secara langsung tidak pernah diambil kira dalam proses pembuatan keputusan membangunkan projek ini.

Kami merasa amat kesal dengan situasi yang berlaku pada masa ini. Hak nelayan yang menjadi penyumbang utama kepada sumber protein negara seperti dinafikan. Nelayan menjadi mangsa kepada projek pembangunan yang tidak menjanjikan apa-apa faedah serta peningkatan dan peluang sosioekonomi kepada nelayan. Projek ini dimaklumkan kepada pihak kami bertujuan untuk pembangunan perumahan elit dan projek komersial berkos tinggi dan menafikan kebajikan golongan rakyat miskin terutamanya nelayan.

Penambakan turut mengubah proses dan pola geomorfologi pinggir pantai. Akibatnya, sebahagian besar tenaga ombak semulajadi telah dipindahkan ke kawasan lain. Ini akan memberi kesan hakisan pantai yang lebih di teruk. Sifat hidrodinamik air akan berubah lantas member kesan kepada kadar kelajuan ombak serta arahnya. Antara contoh yang berlaku ialah seperti di Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu Kelantan dan Pantai Manis di Sabah yang terhakis kesan penambakan untuk pembinaan Sutera Harbour.

Prose penambakan laut juga turut menyebabkan berlakunya pemendakan berlebihan di pinggir dan dasar laut. Jelas kelihatan sedimentasi yang berlaku di pantai Gelugor ini dipercayai kesan daripada projek penambakan laut di Tanjung Tokong. Keadaan seperti itu mengakibatkan tumbuhan akuatik seperti batu karang dan rumpail laut akan mati ‘kelemasan’ setelah tenggelam dan tersalut dengan tanah dan lumpur yang termendak. Apabila komponen ekosistem akuatik seperti itu terjejas, populasi hidupan laut yang menjadi sumber perikanan dan protein akan berkurangan dan terancam. 
Kemusnahan secara fizikal akibat penambakan laut juga akan terjurus ke arah kejadian bencana banjir serta limpahan air ke daratan secara luar biasa. Penambakan telah mengubah kedudukan serta peranan sistem saliran yang sedia wujud. 

Jelas projek penambakan ini telah memberi kesan kepada nelayan pantai dan juga alam sekitar. Justeru, Unit Nelayan Sungai Gelugor, PIFWA dan SAM mendesak kerajaan menghentikan projek tersebut dengan kadar segera dan menilai kembali keperluan projek tersebut.

Kenyataan Bersama

Hj Abdul Hamid A.Aziz
Pengerusi
Unit Nelayan Gelugor 

Ilias Shafie 
Pengerusi
Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA)

Mohd Nizam Mahshar
Koordinator 
Sahabat Alam Malaysia (SAM) 

Sumber: Sahabat Alam Malaysia

Rujukan Manual Campus Environmentalist (CARE)

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in




MANUAL
AKTIVIS ALAM SEKITAR KAMPUS
(Campus Environmentalist - CARE)
Oleh
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Pergerakan Penyelidikan Dan Pembangunan Komuniti (KOMUNITI)



PERSPEKTIF
Pendidikan alam sekitar adalah sesuatu yang agak terasing dalam sistem pendidikan di negara kita samada di sekolah-sekolah ataupun di institut pengajian tinggi (IPT). Para pelajar sekolah atau mahasiswa/i IPT tidak mendapat maklumat dan pendedahan yang khusus tentang alam sekitar dan peranannya kepada rantaian hidup manusia serta alam ini. Justeru itu, tidak ramai di kalangan anggota masyarakat negara ini yang benar-benar peka dan prihatin terhadap sebarang isu alam sekitar yang berlaku sehinggalah ianya sudah terlambat untuk diperbetulkan.
Pembangunan pesat yang berlaku sekarang ini jika tidak dikawal dan dirancang dengan baik akan meninggalkan kesan negatif dalam masa panjang. Kesedaran untuk melindungi alam sekitar daripada ancaman kemusnahan harus di tanam dalam diri setiap individu di negara ini.
Para mahasiswa/i IPT adalah di antara golongan muda elit yang perlu didedahkan kepada kepentingan untuk melindungi alam sekitar kerana merekalah kelak yang akan berada dalam syarikat-syarikat, jabatan-jabatan atau organisasi yang akan terlibat menentukan dasar dan keputusan dalam perlaksanaan sesuatu dasar baru. Mereka perlu diupayakan agar setiap tindakan atau keputusan yang dibuat mempertimbangkan kesan dan akibatnya terhadap alam sekitar.
Bagi mencapai tujuan tersebut Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Komuniti (KOMUNITI) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah merancang untuk menghimpunkan mahasiswa/i IPT dari sekitar Pulau Pinang yang berminat untuk terlibat dalam gerakkerja melindungi alam sekitar melalui program pendidikan alam sekitar yang akan dikendalikan oleh Campus Environmentalist (CARE) atau Aktivis Alam Sekitar Kampus. Matlamat melahirkan anggota masyarakat terutamanya golongan profesional yang prihatin dan peka terhadap alam sekitar dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil.



Objektif CARE

Bagi mencapai matlamat di atas beberapa objektif khusus telah ditetapkan untuk dilaksanakan antaranya;


  1. Membina perspektif para pelajar IPT tentang kepentingan melindungi alam sekitar kepada manusia dan saling kaitan antara rantaian (ekosistem) kehidupan di bumi ini.


  2. Membawa para pelajar mendekati dan mengenali keindahan dan keajaiban alam sekitar dalam usaha memupuk kesedaran untuk melindungi alam sekitar.


  3. Mendedahkan para pelajar dengan realiti isu alam sekitar yang berlaku di negara ini dan antarabangsa.


  4. Membimbing para pelajar untuk bertindak melalui saluran dan keadah yang betul dalam menangani isu-isu alam sekitar yang berlaku.


  5. Menggerakkan atau mewujudkan organisasi-organisasi alam sekitar di kampus-kampus agar dapat menyebarluaskan kesedaran untuk melindungi alam sekitar di kalangan para pelajar IPT.



Apa itu CARE ?

CARE ( Campus Environmentalist ) — adalah komuniti penggerak (aktivis) yang terdiri daripada mahasiswa/i IPT yang menumpukan kepada gerakkerja pendidikan, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Aktivis CARE akan membentuk satu keorganisasian yang mampu untuk mengupayakan diri dan masyarakat serta berkesedaran tinggi dalam konteks mengenalpasti masalah alam sekitar, mencari sumber dan punca masalah, bertindak dan memikirkan tindakan yang dirasakan wajar atas permasalahan atau isu yang timbul serta menyedarkan masyarakat luar tentang tanggungjawab bersama yang harus dimainkan bersama dalam usaha mencapai kehidupan yang sejahtera di atas planet bumi yang satu ini.
Dalam usaha untuk membentuk kumpulan pelapis aktivis alam sekitar elit ini, CARE merancang untuk memantapkan organisasi dan keanggotaannya dengan pemantapan ilmu dan kemahiran aktivisme, alam sekitar dan masyarakat bagi membolehkan kumpulan CARE bermandiri didalam apa jua situasi. CARE merupakan salah satu daripada program pendidikan yang dicetuskan oleh dua organisasi bukan kerajaan (NGO) iaitu Sahabat Alam Malaysia dan Pergerakan Penyelidikan Dan Pembangunan Komuniti (KOMUNITI) dengan kerjasama Pergerakan Perkhidmatan Masyarakat (PPM, USM) di bawah Biro Alam Sekitar yang bertujuan untuk membentuk kelompok remaja elit yang berpengetahuan, peka, sedar dan bertindak di atas kesedaran untuk membela dan memelihara maruah dan kesejahteraan alam sekitar tercapai matlamatnya. Di harap dengan usaha yang kerdil ini kita mampu merubah paradigma masyarakat terhadap alam sekitar dan memberi manfaat untuk seisi alam.


Mengapa CARE ?


  1. Organisasi yang mengabungkan mahasiswa/i pelbagai peringkat umur dan latar belakang untuk mengupayakan diri dalam membantu memastikan kestabilan alam sekitar


  2. Mejalankan aktiviti dan program kesedaran dan pendidikan alam sekitar kepada masyarakat


  3. Memberikan ruang dan peluang kepada remaja untuk menganalisa dan mengkaji isu – isu alam sekitar yang berlaku di Malaysia.


  4. Menyediakan ruang latihan, panduan dan perkongsian maklamat dengan masyarakat luar agar pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi dapat dikongsi bersama


  5. Melatih golongan mahasiswa/i untuk menjadi pendidik alam sekitar yang berkalibar, mahir dan berpengalaman luas dalam bidang alam sekitar


Menganggotai CARE ?

 CARE secara umumnya ingin membentuk personaliti mahasiswa/i yang mempunyai pengetahuan, kesedaran, membentuk sikap dan keperibadian, kemahiran, idealisme dan kemampuan untuk bertindak melindungi alam sekitar.
Justeru itu, dalam usaha melahirkan golongan elit yang mempunyai nilai sahsiah diri yang diperlukan, keanggotaan aktivis CARE adalah terbuka kepada mahasiswa/i yang berminat dalam program – program gerakkerja masyarakat dan alam sekitar. Walaubagaimanapun penggerak (aktivis) CARE akan dilatih dan dididik dengan nilai – nilai pembangunan diri dari aspek pembentukan peribadi, watak, idealisme, gerakkerja, kemahiran, pengetahuan yang berkonsepkan aktivis alam sekitar bagi mengupayakan diri dan masyarakat untuk melindungi alam sekitar.



TEMA

Kami Peduli / We Care



MISI DAN VISI CARE

Misi



  1. Membina kepimpinan mahasiswa/i yang berpengetahuan dan berkesedaran tentang alam sekitar


  2. Melahirkan golongan mahasiswa/i yang mampu bergiat aktif dalam organisasi bagi menyebar luas maklumat kepentingan menjaga alam sekitar


  3. Berperanan dalam bertindak untuk memelihara dan memulihara alam sekitar

Visi


  1. membentuk masyarakat yang prihatin kepada alam sekitar


  2. membentuk masyarakat yang memelihara dan memulihara alam sekitar


  3. melahirkan masyarakat yang peka kepada isu alam sekitar


  4. menjanakan pengerak (aktivis) masyarakat untuk bekerjasama dan bergiat aktif dalam usaha melindungi kesejahteraan alam sekitar



KUMPULAN SASARAN

Program ini disasarkan khusus kepada ahli-ahli kelab/ persatuan/ organisasi alam sekitar di IPTA/ IPTS sekitar Negeri Pulau Pinang.



Fasa I

a. Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang
b. Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang
c. Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang
d. Maktab Perguruan Tengku Bainun
e. Politeknik Seberang Prai
f. Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR)
g. Kolej Komuniti



KEORGANISASIAN CARE



Cadangan Struktur Organisasi CARE


Penaung
Menteri Kementerian Pengajian Tinggi

 Penasihat
SM Mohamad Idris
(Presiden, SAM)

 Pengarah
Mohd Nizam Mahshar
(Koordinator Penyelidikan SAM)

Sekretariat CARE
Ketua Koordinator
Setiausaha
Bendahari
Koordinator Kampus A
Koordinator Kampus B
Koordinator Kampus C



ORIENTASI PROGRAM CARE


Berikut adalah perancangan program CARE tahunan


Eko-Kem


  • Kem perpektif alam sekitar


  • Pembinaan organisasi dan latihan


  • Pembentukan ahli jawatankuasa


  • Perancangan Organisasi

Latihan CARE


  • Perjumpaan bulanan anggota


  • Eko – Aktiviti


  • Bengkel dan pembinaan perpektif alam sekitar

Mesyuarat CARE


  • Mesyuarat mingguan bersama AJK


  • Merancang aktiviti dan program


  • Merancang perjumpaan anggota


  • Bengkel Perspektif

Eko-Tour I



  • Pameran


  • Talkshow


  • Bengkel


  • Persembahan Media, Slaid dan filem alam sekitar


  • Pertandigan Debat


  • Pertandingan Puisi


  • Pertandingan Melukis


  • Program Konserversi ( pemuliharaan ) Alam Sekitar


  • Kempen Penanaman Bakau


  • Kempen Penanaman Pokok



Eko-Kem II



  • Pendidikan Alam Sekitar dan Pembinaan Perspektif Aktivisme


  • Latihan kemahiran dan organisasi


  • Persediaan Eko – Tour II



Eko-Tour II

  • Pameran
  • Bengkel
  • Eko – Teater
  • Pertandingan: Melukis, Puisi, Debat Dll
  • Program Eko – Tour II anjuran CARE



Jambori -CARE

  • Perjumpaan tahunan aktivis CARE
  • Eko – Aktiviti
  • Pendidikan dan pembinaan perspektif ; bengkel

Eko-Aktiviti

  • Lawatan belajar : tapak pelupusan, tapak pembinaan, tracking dll
  • Pembersihan taman dan pantai dll
  • Kempen: kitar semula, penanaman pokok , kesedaran alam sekitar dll

PERENCANAAN GERAKKERJA CARE

Pertandingan


  • Program atau aktiviti yang dirancang menawarkan hadiah. Berbentuk kuiz, lakonan dan lain-lain. Untuk menguji khalayak tentang pengetahuan mengenai sesuatu isu. Disamping menarik perhatian masyarakat untuk sama-sama faham dan bertindak.

Pemantauan Berita (News Monitoring)


  • Program atau aktiviti memberi kefahaman dan kemahiran untuk mengenalpasti isu didalam akhbar. Kemahiran mengenaIpasti isu penting untuk memastikan penggerak faham dan peka terhadap isu yang berlaku disekeliling sama ada peringkat dunia atau tempatan.

Membuat Poster & Pamplet


  • Poster ialah satu kertas atau bahan yang bertumpu tentang isu yang ingin diketengahkan. Mempunyai rnesej yang mudah difahami dan menarik perhatian umum. Dalam bentuk ringkas dan tepat.


  • Pamplet satu bahan edaran atau keluaran yang menceritakan atau menerangkan berkenaan sesuatu isu atau perkara; pertubuhan dengan Iebih terperinci dan mendalam. Memberi gambaran keseluruhan tentang isu dan maklumat rigkas mengenai sesuatu.


  • Kemahiran untuk memahami dan membuat poster dan pamphlet sangat perlu dalam memastikan setiap mesej yang
    ingin diberi tercapai.

Penyediaan Risalah


  • Risalah ialah penerangan tentang pertubuhan, isu atau perkara yang ingin disampaikan kepada masyarakat. Risalah sama ada dalam bentuk ringkas atau terperinci perlu dalam memastikan mesej yang ingin diberi terhasil dalam diri masyarakat.


  • Mengandungi penerangan awal, kesan, tindakan, penglibatan dan lain-lain.

Ceramah


  • Ceramah ialah proses menyampaikan makIumat kepada khaIayak secara 'face to face'. Kemahiran untuk menarik tumpuan pendengar adalah penting. Kebolehan mengenal dan memberi maklumat secara tepat dan menarik juga perlu. Ceramah biasanya mempunyai khalayak seramai 50 kepada 100 orang atau lebih. Penceramah yang baik akan dapat menilai persepsi pendengar dan memahami tahap pemikiran dan penerimaan pendengar. Biasanya dikendalikan oIeh seorang panel.

Forum


  • Proses menyampaikan maklumat kepada khalayak dengan perbincangan atau menyampaikan maklumat secara perbincangan. Kemahiran sama seperti diatas. Biasanya melibatkan 3 atau 4 orang panel. Perbincangan yang dibuat adalah Iebih meluas dan terdapat sesi bersoal jawab untuk sebarang kemusykilan. Biasanya melibatkan sesi soal jawab dan penerangan tentang isu.

Bengkel


  • Merupakan satu sesi perbincangan atau percambahan pemikiran mengenai isu semasa atau kemahiran berkenaan sesuatu gerakkerja.


  • Merupakan langkah untuk memahami, mendalami dan mendekati isu, kemahiran dan maklumat.

Kem & Perhimpunan


  • Aktiviti perkhemahan atau menginap di sesebuah tempat. Biasanya KEM dijalankan untuk membolehkan maklumat, kemahiran atau kefahaman tentang isu disampaikan secara teratur dan mendalam. Biasanya dijalankan selama 3/ 4 hari. Perancangannya lebih komplek dan memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran dan sabar. Melibatkan Iebih ramai peserta.

Lawatan


  • Aktiviti melawat sesuatu tempat untuk mengetahui sejarah dan hal-hal yang berkaitan.
    Lawatan boleh dilakukan selama 1 hari atau lebih. Dilakukan untuk destinasi yang dekat atau jauh. Kepentingan untuk memberi gambaran yang Iain terhadap apa yang telah mereka ketahui dan perbandingan dengan tempat atau kawasan lain.

Kemahiran Hands On


  • Pembentukan kemahiran untuk berfikir secara kreatif dan bertindak merealisasikan tindakan atau hands-on. Aktiviti yang membentuk minda kreatif remaja dan kelompok sasaran untuk menampakkan apa yang mereka fikirkan. Amat penting kerana masyarakat suka pada sesuatu yang mereka nampak dan boleh dipegang atau dibuat.

Menggerakkan Persatuan Di IPT


  • Rujuk pada susunan (organisasi) persatuan/kelab

Tinjauan Isu


  • Aktiviti membuat penilaian atau pemerhatian terhadap sesuatu isu. Biasanya tidak dilakukan dalam kelompok besar, hanya kelompok kecil.Kemahiran bertanya, memahami isu, tahu pihak yang terlibat dan mengambil gambar adalah penting. Semasa tinjauan dibuat pemerhatian perlu dibuat dengan teliti dan direkodkan. Laporan selepas tinjauan perlu dibuat.

Turun Lapangan (Site Visit)


  • Pergi kepada masalah atau isu. Dalam beberapa kumpulan berdasarkan isu atau masalah yang ada.


  • Biasanya kaedah pemerhatian dan soaljawab digunakan. Mengambil gambar dan mendekati kelompok sasaran adaIah digalakkan untuk mengetahui sendiri, permasalahan dan isu yang berlaku. Laporan hendaklah dibuat.

Kempen


  • Aktiviti yang dijalankan secara kemuncak dalam sesuatu pergerakkan. Setelah faham tentang isu dan masalah yang berlaku. Dilakukan untuk tempoh yang panjang dan sangat mementingkan faktor tarikan kepada khalayak. Memasukkan semua unsur sama ada pameran, ceramah, pertandingan dan lain-lain.

Pameran


  • Aktiviti menunjukkan atau mempamerkan apa sahaja berkaitan dengan isu. Sama ada secara statik atau bergerak. Pameran memerlukan bahan pameran dan kit yang sesuai. Boleh melibatkan kuiz, pertandingan, tayangan gambar dan lain-lain.

Lakonan


  • Merupakan persembahan drama pendek tentang masalah atau situasi. Gabungan antara perbincangan dan demonstrasi. Menerangkan tentang situasi/ isu yang telah berlaku dan menyampaikan mesej.


  • Tiada peralatan diperlukan hanya ruang bilik kosong supaya pelakon boleh membawa watak yang diberikan.Lakonan memberi maklumat dalam masa yang sama menghiburkan dan sangat baik untuk menarik perhatian. Boleh dilakukan secara spontan atau menggunakan skrip di mana situasi sebenar boleh diringkaskan.


 

Drama


  • Drama bermaksud untuk menghiburkan tetapi mencerminkan masyarakat dan menggambarkan keperluan yang dirasakan oleh orang ramai.

Diskusi


  • Kaedah ini melibatkan pendengar dengan penyelidikan. Topik khusus melalui analisa, pengulangan dan penilaian terhadap sesuatu perkara. Tidak formal dan membolehkan berlakunya proses penukaran pandangan yang tidak tersusun tanpa paksaan. Untuk mendapatkan diskusi yang baik, kumpulan mesti menumpukan pada subjek perbincangan dan mengadakan perbincangan tidak terlalu luas tanpa garispanduan. Bagi memudahkan perbincangan umum. Ketua yang memandu perbincangan perlu tahu motif tetapi tidak mempengaruhi perbincangan. Tiada bahan khusus yang diperlukan. Biasanya duduk dalam bulatan untuk memudahkan perbincangan.

Debat


  • Debat adalah formal dan mewajibkan peraturan masa. Debat lebih menarik apabila isu yang dibentangkan secara terbuka sama ada sebelum atau selepas perdebatan.
    Memakan masa antara 1 hingga 2 jam. Membincangkan isu yang menarik dan penting dalam masyarakat seperti isu keagamaan dan sosial.

Role - Play (Lakon Peranan)


  • Berlaku dalam situasi yang tidak formal. biasanya terjadi secara spontan dan dijalankan dalam jangka masa singkatMelibatkan ramai orang. Sekurang-kurangnya 10 - 4 orang. Berkaitan dengan isu dan persoalan semasa. Tanpa skrip dan bahan tambahan.

Road Show


  • Merangkumi keseluruhan aktiviti di atas yang boleh di adakan di tempat – tempat awam yang menjadi tumpuan atau lokasi yangf stratergik.

SUMBER KEWANGAN

 Yuran


  • Dikutip daripada ahli pergerakkan sebulan sekali atau setahun sekali. Ia juga boleh dikutip berdasarkan program yang dibuat. Yuran biasanya digunakan untuk melicinkan program dan tidak membebankan ahIi.


 

Dana


  • Tabungan atau sumber kewangan daripada pihak penganjur. Simpanan lebihan daripada program terdahulu ataupun kewangan daripada yuran yang diperoleh.

Sumbangan Kewangan


  • Diperolehi daripada badan kerajaan atau bukan kerajaan yang berkaitan. Kewangan yang diminta kerana penganjuran bersama atau kerjasama dengan pihak tertentu.
    Biasanya untuk program yang besar perbelanjaannya.
PENJANAAN SUMBER KEWANGAN

 
Kertas Kerja Kewangan


  1. Sama seperti kertas kerja program cuma Iebih spesifik kepada perbelanjaan atau jumlah wang akan digunakan untuk sesebuah program.


  2. Perlu dihantar kepada pihak yang dirasakan sesuai sekurang-kurangnya sebulan sebelum program dijalankan.


  3. Pergi sendiri kepada sumber atau mengirimkan secara pos. Namun jika pergi sendiri berjumpa penyumbang peluang untuk mendapatkan kewangan adalah lebih mudah.


  4. Dibuat dengan terperinci dan mampu menyakinkan pemberi sumbangan.


Sumbangan Individu


  • Sumbangan ikhlas individu sama ada diminta melalui surat atau diberi sendiri oleh oang yang prihatin.


  • Biasanya perlu sediakan surat meminta sumbangan kewangan atau barangan.


  • Mengambil masa 3 minggu hingga sebulan. Kertas kerja berkenaan program yang dirancang dan kewangan yang diperlukan hendaklah disertakan.

 

Sumbangan Jabatan/Agensi/Bank


  • Sama seperti di atas.

BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO)

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)


  • Persatuan Pengguna Pulau Pinang, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bergiat secara serius dalam memberikan maklumat dan kemahiran kepada kelompok masyarakat. Jaringan maklumat dan keperluan tenaga pengajar akan digerakkan bersama CAP. Kemahiran bergerakkerja seperti mengadakan kempen, pameran dan penyebaran maklumat melalui penjualan buku akan dibuat.


  • Beralamat di No.10, Jalan Masjid Negeri, 11600 Pulau Pinang. No. tel: 04-8299511.


Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  • Sahabat Alam Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat secara aktif dalam isu pencemaran alam sekitar dan pembangunan yang tidak sepatutnya. Jaringan secara langsung dengan ARAS dan bertindak sebagai penasihat dan Koordinator kepada ARAS.
  • Beralamat di 9, Solok Mas, 11600 Pulau Pinang. No tel :04-6596930.



Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)



  • Teras Pengupayaan Melayu, sebuah badan bukan kerajaan yang bertindak dan bergerak memberi kefahaman, maklumat dan pengupayaan kelompok masyarakat terhadap isu yang membelenggu masyarakat Melayu. Sama ada dari segi kebudayaan, sosial, pendidikan, alam sekitar dan hak orang Melayu. Jaringan akan dilakukan dalam bentuk maklumat, tenaga pengajar, pembentukan aktivis yang ampuh dan bersemangat waja. Pengupayaan remaja supaya tidak hanya berbicara tetapi bertindak.


  • Beralamat di Kg Pondok, Merbok , Kedah.

Pergerakan Penyelidikan Dan Pembangunan Komuniti (KOMUNITI)


  • Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Komuniti. Sebuah badan amanah yang berminat dengan penyelidikan dan pembaikan serta pembangunan masyarakat. Mereka bertindak sebagai pemberi maklumat, pengendali program dan penggerak bagi sesebuah program. Berminat secara khusus dalam isu remaja dan kemasyarakatan. Bertindak sebagai tempat rujukan atau paneI penasihat ARAS.


  • Beralamat di No. 1313, Permatang Bertam, 13200 Kepala Batas Pulau Pinang. No.Tel/Faks: 04-5754750.


 

Citizen International (CI)


  • Citizen International adalah merupakan sebuah jaringan atau badan yang mengumpulkan masyarakat antarabangsa yang bergerak atas isu anti-ketenteraan, keamanan,kerjasama Budaya, perlindungan alam sekitar dan lain-lain. Percaya bahawa aktivisme penting dalam menggerakkan masyarakat untuk menangani pelbagai isu.


  • Beralamat Rumah CAP, Air Itam.


 

Socio-Economic & Enviromental Research Institute (SERI)


  • Socio-Economic & Enviromental Research Institute ( Institut PenyeIidikan Alam Sekitar dan Socio-Ekonomi). Institusi yang menyelidik dan mengadakan perbincangan berkenaan alam sekitar dan sosio-ekonomi di Pulau Pinang. Banyak melaksanakan perjumpaan dan perbincangan dengan agensi dan badan kerajaan.


  • Beralamat di No.10, Jalan Brown, 10350 Pulau Pinang. No teI : O4-2283806.

Angkatan Sahabat Alam Sekitar (ASAS)



  • Angkatan Sahabat Alam Sekitar. Merupakan sebuah badan dibawah SAM. Bertindak menyelesaikan isu setempat. Terdapat dibeberapa kawasan seperti Merbok, Pahang dan beberapa tempat lain. Bertindak menyelesaikan masalah akar umbi (grass-root issues). Terdiri dalam kalangan masyarakat setempat dan mereka diberi kemahiran untuk bertindak.

BADAN / AGENSI KERAJAAN

Kerajaan Negeri


  • Kerajaan negeri sama ada Pulau Pinang, Kedah atau Perak. Menjadi penyumbang kepada program. CARE juga boleh mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan untuk melaksanakan sesuatu projek untuk tujuan kelulusan dan bantuan kewangan.


 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)


  • Badan kerajaan yang berkaitan dengan isu-isu kepenggunaan, mempunyai kepentingan untuk memberi maklumat tentang isu dan masalah kepenggunaan.

Jabatan Alam Sekitar


  • Jabatan Alam Sekitar Kedah atau Pulau Pinang. Merupakan tempat pengumpulan rnaklumat pertama. Jabatan akan dihubungi untuk mengetahui tentang sesuatu isu atau masalah yang berlaku.


 

Jabatan Perhutanan


  • Jabatan yang terlibat secara Iangsung dengan hutan, tempat untuk mengumpul maklumat tentang hutan dan pembalakkan di hutan yang berkaitan. Kerjasama lain dari sudut perkhemahan dan tenaga mahir.

Jabatan Perhilitan


  • Unit yang terlibat dengan hutan simpan, haiwan dan binatang terlarang (Endangered species]. Mendapatkan maklumat tentang hutan dan binatang liar serta kerjasama untuk memberi kemahiran kepada penggerak

Lain – Lain


  • PERDA


  • Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar


  • KEDA


  • Kementerian Pembangunan Luarbandar

BADAN / AGENSI KOPERAT


  • Bank : Pertaniaan, BSN, Bumiputera, Maybank, Public Bank, Hong Leong, Southern,Bank Islam, dll.


  • Kilang Industri : Agilent, KOMAG, B - Braun, Sea Gate dll


  • Syarikat Perniagaan : Petronas, Shell, Caltex, Esso,Nestle, Julie's, Munchy's dll.


  • Pasaraya : Makro, Tesco, Giant dll


  • Syarikat Penerbitan: Star, NST, Berita Harian, Utusan dll

PENUTUP
Program pendidikan yang bertujuan mewujudkan masyarakat yang sedar akan kepentingan alam sekitar terhadap masyarakat merupakan langkah yang paling efektif dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar daripada terus diancam kemusnahan. Justeru, ARAS berharap akan mendapat kerjasama, sumbangan dan sokongan daripada semua pihak dalam melaksanakan program-program pendidikan (kesedaran) alam sekitar yang telah dirancang. Semoga usaha ini akan membawa manfaat ke arah merubah masyarakat ke aras yang lebih baik dan positif.