HENTIKAN PENAMBAKAN LAUT DI GELUGOR

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in | Posted on 07 February 2009

 
Penambakan Laut


Unit Nelayan Sungai Gelugor, Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) & Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendesak agar kerja-kerja penambakan laut di Gelugor (berhampiran jambatan Pulau Pinang) dihentikan serta merta.

Penambakan laut memberi impak yang besar kepada alam sekitar dan masyarakat sekeliling terutamanya nelayan di sekitar Gelugor. Unit Nelayan Sungai Gelugor, PIFWA dan SAM menyatakan keresahan dan kekhuatiran melihatkan kepada kesan-kesan penambakan yang sedang dijalankan.

Nelayan di kawasan Gelugor menghadapi kesukaran untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan. Mereka terpaksa pergi lebih jauh dan mengambil masa yang lama sekaligus meningkatkan penggunaan petrol. Sejak kerja-kerja penambakan dilaksanakan pendapatan nelayan telah berkurangan. 

Kerajaan telah membina pengkalan yang baru di Bakau Street dan mengarahkan semua nelayan Gelugor untuk berpindah ke sana tanpa memikirkan faktor-faktor kebajikan nelayan. Jarak perjalanan dari rumah mereka ke pengkalan baru tersebut memakan masa. Rata-rata nelayan terdiri daripada golongan yang berusia dan sebahagiannya tidak mempunyai kenderaan. Lebih mendukacitakan pandangan keseluruhan masyarakat nelayan yang terlibat secara langsung tidak pernah diambil kira dalam proses pembuatan keputusan membangunkan projek ini.

Kami merasa amat kesal dengan situasi yang berlaku pada masa ini. Hak nelayan yang menjadi penyumbang utama kepada sumber protein negara seperti dinafikan. Nelayan menjadi mangsa kepada projek pembangunan yang tidak menjanjikan apa-apa faedah serta peningkatan dan peluang sosioekonomi kepada nelayan. Projek ini dimaklumkan kepada pihak kami bertujuan untuk pembangunan perumahan elit dan projek komersial berkos tinggi dan menafikan kebajikan golongan rakyat miskin terutamanya nelayan.

Penambakan turut mengubah proses dan pola geomorfologi pinggir pantai. Akibatnya, sebahagian besar tenaga ombak semulajadi telah dipindahkan ke kawasan lain. Ini akan memberi kesan hakisan pantai yang lebih di teruk. Sifat hidrodinamik air akan berubah lantas member kesan kepada kadar kelajuan ombak serta arahnya. Antara contoh yang berlaku ialah seperti di Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu Kelantan dan Pantai Manis di Sabah yang terhakis kesan penambakan untuk pembinaan Sutera Harbour.

Prose penambakan laut juga turut menyebabkan berlakunya pemendakan berlebihan di pinggir dan dasar laut. Jelas kelihatan sedimentasi yang berlaku di pantai Gelugor ini dipercayai kesan daripada projek penambakan laut di Tanjung Tokong. Keadaan seperti itu mengakibatkan tumbuhan akuatik seperti batu karang dan rumpail laut akan mati ‘kelemasan’ setelah tenggelam dan tersalut dengan tanah dan lumpur yang termendak. Apabila komponen ekosistem akuatik seperti itu terjejas, populasi hidupan laut yang menjadi sumber perikanan dan protein akan berkurangan dan terancam. 
Kemusnahan secara fizikal akibat penambakan laut juga akan terjurus ke arah kejadian bencana banjir serta limpahan air ke daratan secara luar biasa. Penambakan telah mengubah kedudukan serta peranan sistem saliran yang sedia wujud. 

Jelas projek penambakan ini telah memberi kesan kepada nelayan pantai dan juga alam sekitar. Justeru, Unit Nelayan Sungai Gelugor, PIFWA dan SAM mendesak kerajaan menghentikan projek tersebut dengan kadar segera dan menilai kembali keperluan projek tersebut.

Kenyataan Bersama

Hj Abdul Hamid A.Aziz
Pengerusi
Unit Nelayan Gelugor 

Ilias Shafie 
Pengerusi
Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA)

Mohd Nizam Mahshar
Koordinator 
Sahabat Alam Malaysia (SAM) 

Sumber: Sahabat Alam Malaysia

Cetak Artikel Ini

Comments (0)

Post a comment