Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in Isu Ulu Muda | Posted on 06 February 2009
YAB Menteri Besar Kedah
Jawatankuasa Deklarasi Rakyat Untuk Alam Sekitar Kedah Yang Lestari telah menyerahkan Deklarasi Rakyat Kedah kepada YAB Ustaz Azizan, selepas Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah bertarikh 20 May 2008.
Deklarasi ini dihantar kepada YAB berikutan melihat degradasi alam sekitar dan penganiayaan masyarakat Kedah seperti kes pengusiran petani Kerpan, pencemaran gas ammonia di Gurun, penderitaan masyarakat kampung berhampiran Kuari Gunung Jerai dan lain-lain, telah menjadi legasi pemerintahan kerajaan Negeri Kedah sebelum ini.
Keadaan ini telah menggerakkan kempen dan usaha yang tidak sedikit oleh NGOs, penduduk kampung dan masyarakat yang teraniaya oleh projek-projek yang hanya berorientasikan keuntungan tersebut. Justeru, peralihan kuasa kepada pemerintahan yang baru ini sedikit sebanyak telah membuka satu lembaran baru untuk masyarakat melihat suatu perubahan model pembangunan yang tidak memusnahkan alam sekitar, tidak menganiaya masyarakat, melibatkan masyarakat dalam proses membuat keputusan bagi setiap projek pembangunan dan membela nasib masyarakat serta memulihara alam sekitar.
Namun, secara jujurnya beberapa kenyataan dan tindakan kerajaan negeri yang baru ini telah menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat dan NGOs. Malah ia turut menimbulkan spekulasi, sebuah kerajaan negeri yang baru dengan model pembangunan tempang yang sama.
Ini dapat dilihat dengan mengambil contoh beberapa kenyataan berulang-ulang kerajaan negeri akan menggunakan hasil sumber asli dalam negeri terutama balak sebagai sumber pendapatan utama, persetujuan untuk menambak laut bagi projek ZIPY sedangkan kajian kos manfaat, kajian impak dan konsultasi dengan masyarakat terutamanya nelayan yang akan menjadi mangsa projek tersebut tidak dilakukan dan kegagalan kerajaan negeri menutup Kuari Gunung Jerai seperti yang dijanjikan oleh calon-calon dalam pilihan raya yang telah berlalu.
Justeru kami masyarakat negeri Kedah telah mengambil inisiatif menyerahkan Deklarasi Rakyat Kedah kepada Menteri Besar Kedah YAB. Ustaz Azizan Razak. Walaubagai manapun kami melihat YAB tidak menunjukkan minat untuk mendapatkan penjelasan ringkas dari kami berhubung deklarasi tersebut.
Kami telah menyatakan di dalam deklarasi tersebut untuk meminta maklum balas bertulis terhadap tindakan secara terperinci oleh pihak Kerajaan Negeri Kedah, dalam masa 60 hari dari tarikh deklarasi tersebut diserahkan (20 May 2008). Kami juga meminta dalam masa tersebut agar pertemuan serta perbincangan dengan YAB Menteri Besar dan Exco bertanggungjawab dapat diadakan.
Kandungan deklarasi ini secara jelas menuntut Kerajaan negeri Kedah untuk menunaikan janji-janji pilihanraya seperti menutup kuari Gunung Jerai, membatalkan projek ZIPY, menggazet hutan simpan tadahan air, mempertahankan hak rakyat dan lain-lain.
Kami juga menggesa kerajaan negeri menunjukkan contoh dengan mematuhi Pelan Struktur dan Pelan Tempatan. Kami juga meminta kerajaan negeri melakukan Strategic Environmental Assesment (SEA) yang meliputi kajian impak menyeluruh kepada alam sekitar dan sosial, bagi setiap projek- projek berimpak besar yang jelas memberi kesan kepada alam sekitar dan manusia.
Kami juga meminta Kerajaan Negeri Kedah dengan segera menggazet hutan tadahan air seperti Hutan Simpan Pedu, Hutan Simpan Gunung Bongsu, Hutan Simpan Gunung Jerai dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda yang terdiri daripada sembilan (9) kawasan Hutan Simpan sekitarnya.
Dalam masa yang sama kami mengharapkan Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan kenyataan yang mendahului proses kelulusan undang-undang seperti kelulusan EIA, Cost Benefit Analysis dan melihat Pelan Struktur sebagai panduan. Malah kerajaan negeri diminta melakukan konsultasi dengan seluruh masyarakat termasuk para nelayan, para petani, masyarakat kampung dan NGOs sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai sesuatu projek. Ini kerana jelas dalam projek ZIPY, Kerajaan negeri Kedah telah mengenepikan proses yang dinyatakan.
Kerajaan Negeri Kedah harus mematuhi prinsip-prinsip keadilan dan kebenaran seperti mana yang dilaungkan dalam pilihanraya baru-baru ini dengan menjadi contoh dalam konteks urus tadbir alam sekitar yang baik dan berkesan, ketelusan dan kebebasan maklumat, penyertaan awam yang benar dan bermakna dalam pembuatan keputusan dan hisbah (audit) yang benar dalam semua urusan pentabiran dan projek.
Kami juga mengharapkan Kerajaan Negeri Kedah akan mempertahankan alam sekitar negeri Kedah dan juga masyarakat keseluruhannya yang merangkumi petani, nelayan, masyarakat luar bandar dan lain-lain. Ini selaras dengan janji-janji yang telah dibuat oleh pihak tuan sebelum pilihanraya.
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Ash Shaff:2-3).
Sekian, Terima Kasih.
Yang Benar,
Mohd Nizam Mahshar
Jurucakap Jawatankuasa Deklarasi Rakyat
Untuk Alam Sekitar Kedah yang Lestari
Sumber: Sahabat Alam Malaysia
Comments (0)