RM250j bersih Sungai Pinang

0

Posted by Aktivis Alam Sekitar Kampus; | Posted in | Posted on 22 March 2009

Fasa ll akan dimulakan dua tahun lagi selepas semua penduduk dipindahkan


 

GEORGETOWN: Sungai Pinang, antara sungai tercemar di negara ini bakal berubah 'wajah' kira-kira lima tahun lagi apabila projek bernilai RM250 juta siap sepenuhnya pada 2013.

Projek Pembersihan dan Rawatan Air Sungai Pinang serta Projek Rancangan Tebatan Banjir Fasa II akan dimulakan dua tahun lagi apabila kerja memindahkan penduduk di pinggir sungai itu, selesai.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Hanapi Mohamad Noor, berkata projek itu tidak boleh dimulakan kerana proses memindahkan penduduk di Jalan Datuk Keramat dan Jalan P Ramlee belum selesai.

Katanya, sebanyak 307 keluarga perlu dipindahkan yang membabitkan 118 rumah, kedai (enam), kuil atau tokong (dua) dan stor (tiga) bagi membolehkan kerja itu dimulakan.

"Proses memindahkan keluarga berkenaan dijangka mengambil masa dua tahun dan tiga tahun lagi diperlukan untuk melaksanakan projek itu," katanya ketika melawat Sungai Pinang di sini, kelmarin.

HANAPI (tengah) berbincang dengan Law (dua dari kanan) dan Phee (kanan) mengenai Projek Pembersihan dan Rawatan Air Sungai Pinang dan Projek Rancangan Tebatan Banjir Fasa II.

Lawatan itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir negeri, Law Choo Kiang dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Fasa I projek itu yang membabitkan kos RM20 juta meliputi kerja pengorekan endapan tercemar, pengindahan cabang sungai, pembinaan jeti nelayan dan pembinaan perangkap sampah sepanjang dua kilometer.

Projek itu yang siap pada 2007 berjaya meningkatkan kelas kualiti air Sungai Pinang daripada Kelas V kepada Kelas III dan IV.

Fasa II pula bertujuan menangani masalah banjir yang membabitkan kerja melebar dan mendalamkan sungai, meninggikan tebing, menstabilkan struktur tebing dan dasar sungai serta membina jambatan dan pembetung sepanjang 1.5 kilometer.

Hanapi berkata, selain mengurangkan masalah banjir, projek itu perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti air serta mengindahkan sungai.

Katanya, projek yang akan bermula dalam tempoh dua tahun lagi membabitkan pembinaan longkang untuk merawat air sebelum dilepaskan ke Sungai Pinang serta pembinaan kolam takungan.

"Kami juga akan membina benteng memerangkap sampah, pelan rawatan pembiakan lumut serta kerja pengindahan sungai," katanya.

Beliau berkata, ketika ini JPS perlu mengutip sekurang-kurangnya 10 tan sampah sebulan yang kebanyakan adalah plastik dan botol minuman.

"Sampah yang banyak juga menjadi penyebab utama banjir kerana aliran air tersekat. Oleh itu, dengan lebih banyak perangkap sampah, kita mampu mengurangkan risiko banjir," katanya.

Cetak Artikel Ini

Comments (0)

Post a comment